arena

Kena berdikari!

Oleh Firdaus Hashim

PERSATUAN bola sepak negeri (FA) wajib mencari pelabur bertaraf kenamaan (VVIP) atau taikun sama ada anak tempatan mahupun rakyat asing untuk kelab di bawah FA masing-masing yang akan diswastakan menjelang musim 2021.

Pengerusi Jawatankuasa Task Force Pelesenan Kelab Profesional Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Firdaus Mohamed berkata, pihaknya percaya ada VVIP yang berminat untuk melabur dalam industri bola sepak di Malaysia, cuma mungkin sebelum ini niat mereka dihalang faktor luaran.

“Sekarang dah tiba masanya FA negeri membuka pintu seluas-luasnya kepada pembeli yang berminat kerana Liga Malaysia (Liga M) sebenarnya turut mempunyai potensi besar dalam aspek komersial dan pengiklanan.

“Malah, kalau ada orang kaya atau syarikat luar yang ingin membeli kelab negara ini apa salahnya. Bukan saja ia dapat merancakkan persaingan dengan meningkatkan kualiti dan standard liga, malah masalah gaji juga dapat diatasi.

“Kena ingat, bila syarikat korporat besar atau multinasional ambil alih kelab, kewangan pasukan akan bertambah kukuh dan masing-masing akan bersaing bukan saja di atas padang tapi juga menerusi perang pengiklanan, promosi dan sebagainya,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Pada 22 Mei lalu, akhbar ini secara eksklusif melaporkan, FAM menubuhkan satu jawatankuasa baharu iaitu Jawatankuasa Task Force Pelesenan Kelab Profesional yang diberi peranan untuk memastikan semua pasukan Liga M mempunyai sebuah organisasi kelab berlesen bagi menjalankan aktiviti secara berasingan daripada FA bermula musim 2021.

Ketika ini hanya dua kelab bergerak berasingan tanpa ada bantuan daripada FA iaitu kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dimiliki sepenuhnya oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim di Liga Super dan Selangor United yang beraksi di Liga Perdana.

Meskipun ada beberapa pasukan menukar status kepada kelab seperti Terengganu FC dan Melaka United, dana pasukan masih lagi dibiayai sepenuhnya oleh FA.

Mengulas lanjut, Mohd Firdaus bagaimanapun berkata, pihaknya sedar kesukaran mencari pemilik yang benar-benar bersedia melabur jutaan ringgit dalam industri bola sepak tempatan, namun ia bukan mustahil dengan perancangan jitu.

Katanya, kelab di Liga Perdana Inggeris (EPL) misalnya dimiliki oleh pihak luar dengan menguasai sebahagian besar pemilikan saham kelab seperti jutawan minyak dari Emiriah Arab Bersatu, Sheikh Mansour Zayed Al Nahyan yang memiliki Manchester City dan keluarga Glazer pemilik Manchester United.

Disiarkan pada: June 12, 2019 @ 6:01am
d