arena

Bagai 'pisang goreng panas'

Oleh Firdaus Hashim

KERUSI ketua jurulatih Terengganu FC (TFC) ibarat ‘pisang goreng panas’ apabila jawatan itu turut menarik minat bekas Pengarah Teknikal Romania, Marian Mihail untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Irfan Bakti bulan lalu.

Mihail, 61, yang memiliki lesen tertinggi kejurulatihan iaitu lesen profesional UEFA serta pengalaman luas selama 40 tahun melatih beberapa negara dan kelab sekitar Eropah dan Asia, dilihat calon paling sesuai untuk menaikkan semula prestasi skuad Penyu ketika ini.

Menurut seorang ejen bola sepak antarabangsa yang enggan identitinya didedahkan, Mihail menerusi ejennya sudah menghantar permohonan kepada Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) selepas menyatakan minat untuk tugasan berkenaan.

Malah katanya, sebuah kelab di Indonesia turut berminat untuk mendapatkan sentuhan bekas pemain kebangsaan Romania dari 1979-1985 itu.

“Beliau berminat untuk datang ke Malaysia dan melatih pasukan di Liga Super yang disifatkan antara liga terbaik di rantau Asia Tenggara.

“Pasukan Terengganu pula antara pasukan yang sering muncul sebagai pencabar kejuaraan. Sudah tentu pengalaman dan ilmu bola sepak moden yang ada pada Mihail boleh digunakan sebaiknya Terengganu,” katanya kepada Arena Metro.

Beliau memiliki rekod baik sebagai jurulatih apabila membantu kelab liga satu Romania, FC Steaua Bucharest menjulang dua trofi dalam semusim iaitu liga dan Piala Super pada musim 2000-2001.

Mihail seterusnya melebarkan sayapnya dengan melatih kelab di Syria, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu dari 2002-2009 sebelum kembali ke negara kelahirannya pada 2011 untuk diberi tanggungjawab besar selaku Pengarah Teknikal Bolasepak Romania sehingga 2014.

“Beliau juga mempunyai kepakaran dalam mengesan bakat muda. Jadi saya percaya kehadiran beliau bukan saja bermanfaat untuk pasukan liga utama tetapi juga pembangunan di negeri terbabit,” katanya.

Ketika ini, empat jurulatih tempatan dan luar berminat mengisi jawatan jurulatih skuad TFC. Selain Mihail, bekas pemain negara dan Terengganu era 90-an, Azlan Johar dan Mohamad Ishak Kunju Mohamad turut menawarkan diri, di samping jurulatih kelahiran Indonesia, Rahmad Darmawan dan bekas pengendali pasukan T-Team, Tomislav Steinbruckner.

Selepas Irfan meletakkan jawatan, penolong jurulatih, Nafuzi Zain diberi kepercayaan oleh PBSNT untuk mengetuai pasukan naib juara Piala Malaysia musim lalu itu buat sementara sebelum memutuskan jurulatih baharu mengendali pasukan.

Disiarkan pada: June 12, 2019 @ 6:05am
d