arena

'Big Rom' masih berbisa

Oleh Reuters

ROMELU Lukaku berjanji untuk memanfaatkan musim kurang memuaskan di Manchester United untuk bangkit lebih garang selepas dua jaringannya ketika Belgium menewaskan Scotland pada aksi kelayakan Euro 2020 awal pagi tadi pasti mengingatkan jurulatih kelab mengenai kemampuan sebenarnya.

Peminat Belgium mempamerkan sokongan hebat mereka terhadap ‘Big Rom’ sebelum sepak mula dengan merentangkan pemidang gergasi bertulis ‘baru berusia 26 tahun, sudah menjadi legenda’, membuatkan jurulatih Roberto Martinez menyifatkannya sebagai ‘cinta’ yang menjadikan pasukan itu unik di Eropah.

Lukaku menjaringkan gol pada minit ke-45 dan 57 untuk memastikan Belgium kekal tanpa kalah dalam Kumpulan I selepas empat perlawanan dan berkata dia berazam untuk menebus kempen di Manchester musim ini yang menyaksikannya kehilangan tempat dan dikatakan bakal dijual.

“Saya berdepan musim yang bermasalah di peringkat kelab,” katanya.

“Saya kehilangan tempat dan tidak banyak bermain.

“Namun ia satu fasa dalam karier saya dan ia akan membantu saya ke peringkat seterusnya.”

Dia menolak soalan mengenai kemungkinan berpindah ke Inter Milan dengan jawapan tiada komen.

Bekas pengurus Wigan Athletic dan Everton Martinez memuji konsistensi Lukaku di depan gawang sejak tiga tahun lalu yang membantu Belgium menduduki tangga ketiga Piala Dunia tahun lalu dan meneruskannya dengan tiga gol dalam dua perlawanan terakhir mereka.

“Ada kalanya saya rasa sedih apabila tidak melihat Rom menikmati permainannya,” kata Martinez.

“Apabila dia menikmati permainan bola sepak, dia penjaring gol yang berbahaya.”

Disiarkan pada: June 12, 2019 @ 9:05am
d