arena

Watanabe direhatkan akibat demam panas

Oleh Asrol Awang

SKUAD FELDA United mungkin tidak dapat menurunkan kesebelasan utama selepas pemain import mereka, Masaki Watanabe mengalami demam panas sejak kelmarin.

Pengendali pasukan, Mohd Nidzam Jamil berkata, pemain Jepun itu dilaporkan kurang sihat selepas sesi latihan menjelang aksi bertemu PKNS FC di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Jumaat ini.

"Kalau boleh saya mahu semua pemain utama diturunkan di gelanggang sendiri selepas cuti panjang, tapi apa boleh buat, kami mendapati Watanabe mengalami demam panas.

"Buat masa ini, dia tidak dapat menjalani latihan seperti rakan sepasukan lain jadi kita percaya dia memang tidak dapat bersama pasukan dalam perlawanan Jumaat ini.

"Apa pun, saya sudah meminta pasukan kesihatan kita memantau perkembangan Watanabe dan berharap dia segera sembuh serta dapat bersama kita dalam perlawanan seterusnya," katanya.

Ditanya mengenai perkembangan penyerang import Singapura, Khairul Amri Kamal, Mohd Nidzam berkata, pemain itu dijangka kembali menyertai latihan hari ini.

"Dia kembali bersama kami bagi menjalani latihan dan kita percaya dia masih berada dalam prestasi terbaik selepas menyertai pasukan kebangsaan Singapura untuk aksi persahabatan baru-baru ini," katanya.

Beliau berharap Khairul Amri dapat memainkan peranan membantu jentera serangan pada aksi menentang PKNS FC.

Disiarkan pada: June 12, 2019 @ 2:08pm
d