arena

Peluang sertai Asian Eleven

Oleh Saiful Affendy Sapran

DUA pemain skuad bawah 18 (B-18) kebangsaan, Ali Imran Sukari dan Harith Haiqal Adam Afkar memperoleh peluang keemasan apabila dipilih untuk menyertai program Asian Eleven di Fukushima, Jepun.

Dua pemain itu berlepas ke Tokyo dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang hari ini bagi menyertai program yang berlangsung esok hingga 23 Jun di Fukushima.

Kemuncak program itu menyaksikan pasukan Asian Eleven bertemu Pilihan B-18 Tohoku pada perlawanan persahabatan bagi merebut JapaFunCup di Stadium J-Village, Fukushima pada 22 Jun.

Pasukan Asian Eleven kendalian Takuma Koga akan dibarisi seramai 21 pemain dari 11 negara Asia Tenggara dengan setiap negara diwakili dua pemain kecuali Vietnam hanya seorang pemain.

Ali Imran dan Harith Haiqal yang kedua-duanya berusia 17 tahun adalah pemain dari Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) yang berpusat di Akademi Mokhtar Dahari di Gambang, Pahang.

“Sudah tentu ini peluang terbaik buat kami berdua menunjukkan kebolehan dan membuktikan orang Malaysia boleh bermain bola sepak di tahap yang tinggi.

“Tempoh latihan seminggu di Jepun akan saya gunakan untuk membentuk gandingan terbaik bersama rakan baharu,” kata Ali Imran yang beraksi di posisi pertahanan.

Sementara itu pemain tengah, Harith Haiqal berkata, dia akan memanfaatkan peluang itu sebaik-baiknya.

“Saya akan cuba belajar sebanyak mungkin ilmu bola sepak dan bertekad untuk memberikan persembahan terbaik,” katanya.

Disiarkan pada: June 12, 2019 @ 11:41pm
d