arena

'Cakap senang lah...'

Oleh Firdaus Hashim

“APA keuntungan yang boleh diraih kepada pemilik kelab atau pelabur jika ada yang sanggup berbelanja besar menguruskan pasukan.

“Pada pendapat saya, liga (Liga Malaysia) kita belum sampai tahap buat duit kerana status kelab adalah berasaskan perniagaan. Mampukah liga kita menjana keuntungan?”

Itu pandangan dan persoalan yang dibangkitkan Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Tajul Hasnan Omar yang melihat langkah penswastaan sepenuhnya menjelang musim 2021 terhadap 24 pasukan liga tempatan agak sukar untuk dilaksanakan.

Beliau mengulas keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menubuhkan satu jawatankuasa baharu iaitu Jawatankuasa Task Force Pelesenan Kelab Profesional yang diberi peranan memastikan semua pasukan mempunyai sebuah organisasi kelab berlesen bagi menjalankan aktiviti secara berasingan daripada persatuan bola sepak negeri (FA) bermula musim 2021.

Jelas Tajul, biarpun mungkin ada pelabur bertaraf kenamaan (VVIP) atau taikun berminat membeli pasukan daripada FA, apakah jaminan yang mampu diberikan sedangkan mereka mengharapkan keuntungan daripada pelaburan berkenaan.

“Misalnya pasukan Perak sendiri, hampir RM500,000 diperlukan sebulan untuk membayar gaji pemain saja dan ia belum kira perbelanjaan dan logistik pasukan setiap kali bergerak ke stadium luar.

“Duit jualan tiket dan jersi pula bukan banyak dan kalau nak tahu tak bawa apa-apa keuntungan pun kepada Perak. Sebaliknya kita pula kena keluarkan perbelanjaan yang lebih lagi untuk pasukan.

“Sebab itu penting ada bantuan daripada FA yang dibantu oleh kerajaan negeri yang boleh menyuntik dana kepada pasukan. Jadi, pada saya, agak susah dilakukan. Silap-silap lebih banyak pasukan akan tutup kedai seperti Perlis dan Kelantan yang sedang menghadapi krisis akibat tiadanya bantuan kerajaan negeri,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Nada sama turut diluahkan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Dr Johan Kamal Hamidon yang melihat idea berkenaan memerlukan tempoh pelaksanaan lebih panjang dan tidak dilakukan secara terburu-buru.

“Secara dasar ia langkah betul dan tepat dilakukan FAM untuk mewajibkan semua pasukan bergerak sendiri. Di FAS, kita sedang melihat beberapa kaedah sebelum dilaksanakan.

“Cuma saya rasa pelaksanaan sepenuhnya pada 2021 agak cepat dan kita mungkin memerlukan lebih masa untuk menyediakan struktur baharu kepada bola sepak Selangor,” kata Johan.

Disiarkan pada: June 13, 2019 @ 6:00am
d