arena

Griezmann bakal milik Barcelona

Oleh Agensi

CEO Atletico Madrid, Miguel Angel Gil Marin berkata, Antoine Griezmann akan beraksi bersama Barcelona musim depan sekali gus mengesahkan spekulasi sumber kepada ESPN FC pada Mei lalu.

Griezmann, 28, menegaskan kepada Atletico pada minggu terakhir La Liga bahawa dia akan meninggalkan kelab pada musim panas ini dan pada masa sama juara Sepanyol, Barcelona berharap dapat menandatangani penyerang itu.

Walaupun pemain antarabangsa Perancis itu masih lagi berteka-teki mengenai hala tujunya, Gil Marin tidak meragui destinasi Griezmann seterusnya.

"Saya sudah tahu di mana Griezmann akan beraksi seterusnya sejak Mac lalu,” kata Gil Marin awal pagi tadi. “Dia akan beraksi bersama Barcelona.”

Griezmann sebelum ini memberi kenyataan berbeza mengenai situasi dirinya sejak beberapa hari lalu.

"Saya mahu menentukan sendiri masa depan saya. Mungkin dalam masa dua minggu lagi akan lebih jelas,” kata Griezmann.

Griezmann salah seorang pemain yang menjadi buruan Barca selepas musim mengecewakan dalam kempen Liga Juara-Juara dan Piala Raja Sepanyol. Mereka telah pun berjaya memiliki pemain tengah Ajax, Frenkie de Jong dan masih berusaha menarik minat seorang lagi pemain, Matthijs de Ligt menyertai mereka.

Disiarkan pada: June 13, 2019 @ 10:01am
d