arena

City mulakan musim di West Ham

Oleh Reuters

JUARA bertahan Manchester City akan memulakan aksi Liga Perdana Inggeris musim 2019-20 dengan kunjungan ke West Ham manakala Liverpool membuka tirai dengan perlawanan di tempat sendiri menentang kelab pendatang baharu Norwich City.

Jadual itu, yang dikeluarkan hari ini, turut menyaksikan pertembungan getir minggu pertama dengan Manchester United melayan Chelsea, yang menghuni tangga ketiga musim lalu.

Tottenham Hotspur, yang melengkapkan kelompok empat teratas musim lalu, bermain di laman sendiri menentang Aston Villa, yang kembali ke liga utama menerusi playoff selepas tiga tahun menghilang.

Arsenal bertandang ke Newcastle United manakala Sheffield United, satu lagi kelab pendatang baharu, bermula di Bournemouth.

Leicester City menjadi hos Wolverhampton Wanderers, Burnley berdepan Southampton, Crystal Palace melayan kunjungan Everton dan naib juara Piala FA, Watford bermain di gelanggang sendiri menentang Brighton bagi melengkapkan jadual hujung minggu pertama.

Musim baharu kali ini bermula pada Jumaat, 9 Ogos (awal pagi Sabtu waktu Malaysia).

Musim kali ini yang pertama memperkenalkan cuti rehat pertengahan musim. Ia juga menampilkan sistem pengadil bantuan video (VAR) buat kali pertama.

Manchester City kendalian Pep Guardiola, yang melengkapkan kejayaan memenangi tiga trofi domestik musim lalu, bermula agak selesa bagi musim baharu, sekalipun mereka berdepan Tottenham, yang menyingkirkan mereka pada suku akhir Liga Juara-Juara musim lalu. Mereka bertemu di Etihad pada hujung minggu kedua.

Mereka kemudian bertandang ke Bournemouth, melayan Brighton, berkunjung ke Norwich dan kemudian bertemu Watford di Etihad.

Enam perlawanan pertama naib juara Liga Perdana dan juara Eropah, Liverpool termasuk perlawanan di laman sendiri menentang Arsenal dan bertandang ke Chelsea.

Perlawanan pertama antara dua pasukan memburu kejuaraan musim lalu akan berlangsung di Anfield pada 9 November.

Penyokong Tottenham dan Arsenal tidak perlu menunggu lama bagi aksi musuh setempat pertama utara London, dengan kedua-dua pasukan bertembung di Emirates pada 31 Ogos.

Perlawanan lain yang perlu diberi perhatian adalah kunjungan Liverpool ke Manchester United pada 19 Oktober dan pertembungan musuh setempat Manchester di Stadium Etihad pada 7 Disember.

Musim baharu ini akan tamat pada 17 Mei depan apabila City menjadi hos kepada Norwich, Liverpool di Newcastle, Tottenham bertandang ke Crystal Palace dan Chelsea menanti kunjungan Wolves.

Disiarkan pada: June 13, 2019 @ 6:54pm
d