arena

Ferrari tak jadi buat bantahan

Oleh Reuters

FERRARI tidak akan membuat bantahan rasmi terhadap penalti yang menyebabkan Sebastian Vettel dinafikan kemenangan pada Grand Prix Kanada, menurut sumber hari ini, namun mungkin tetap meminta reviu keputusan itu dengan membentangkan bukti terbaharu.

Pasukan Formula Satu itu diberi masa hingga lewat malam ini untuk membuat bantahan rasmi, 96 jam selepas perlumbaan di Montreal tamat.

Seorang jurucakap Ferrari berkata, mereka masih berusaha mencari bukti namun tidak boleh mengesahkan apa tindakan yang akan diambil.

Sumber di badan induk Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) memberitahu pasukan itu tidak akan membuat rayuan rasmi.

Terdahulu, akhbar Daily Mail melaporkan prinsipal Ferrari, Mattia Binotto sudah menghantar surat kepada FIA menyatakan pasukan itu tidak akan membantah penalti lima saat dikenakan terhadap Vettel selepas perlumbaan itu.

Pasukan itu awalnya memberikan gambaran hasrat mereka untuk merayu Ahad lalu, apabila Vettel mendahului sejak mula hingga penamat namun tewas di tangan pendahulu kejuaraan dari Mercedes, Lewis Hamilton selepas perlumbaan berakhir.

“Mereka merampas perlumbaan ini daripada kami,” kata Vettel, juara dunia empat kali, bercakap menerusi radio apabila diberitahu dia disiasat kerana terkeluar dari litar dan kembali semula dalam apa yang dilihat sebagai tindakan berbahaya, memaksa Hamilton untuk mengelaknya.

Keputusan pegawai perlumbaan itu mencetus kontroversi dengan sesetengah mempertahankan penalti itu manakala yang lain berasakan pegawai ‘membunuh’ satu perlumbaan menarik kerana terlalu menuruti peraturan.

Disiarkan pada: June 13, 2019 @ 8:59pm
d