arena

Misi pikat pencari bakat

Oleh Saiful Affendy Sapran

DUA pemain skuad bawah 18 (B-18) kebangsaan, Ali Imran Sukari dan Harith Haiqal Adam Afkar yang terpilih beraksi dalam program Asian Eleven bukan saja mahu mempamer aksi terbaik tetapi turut berharap dapat memikat hati pencari bakat di kejohanan itu.

Kedua-dua pemain itu berlepas ke Tokyo kelmarin bagi menyertai program yang bermula semalam hingga 23 Jun di Fukushima.

Kemuncak program itu menyaksikan pasukan Asian Eleven akan bertemu Pilihan B-18 Tohoku pada perlawanan persahabatan bagi merebut JapaFunCup di Stadium J-Village, Fukushima pada 22 Jun.

Asian Eleven kendalian Takuma Koga akan dibarisi seramai 21 pemain dari 11 negara Asia Tenggara dengan setiap negara diwakili dua pemain kecuali Vietnam hanya seorang pemain.

“Kalau boleh kami mahu menarik minat pencari bakat di sana dan cuba untuk menandatangani kontrak dengan kelab di sana. Inilah cita-cita kami iaitu untuk bermain di luar negara.

“Itu pun salah satu yang jurulatih sering harapkan supaya kami dapat beraksi di luar. Liga di luar lebih kompetitif dan saya melihat ini sebagai peluang terbaik untuk mengembangkan bakat,” kata Ali Imran.

Harith Haiqal juga senada dengan rakannya itu selain berharap menerusi program itu dapat memperbaiki corak permainannya.

“Kami mahu tunjukkan bakat sebenar kami. Mana tahu kalau ada rezeki pencari bakat berminat untuk mendapatkan khidmat kami,” katanya.

Ali Imran dan Harith Haiqal yang kedua-duanya berusia 17 tahun adalah pemain dari Program Pembangunan Bolasepak Negara yang berpusat di Akademi Mokhtar Dahari, Gambang, Pahang.

Disiarkan pada: June 13, 2019 @ 11:24pm
d