arena

Nasib Teong Kim minggu depan

Oleh Saiful Affendy Sapran

TEKA-TEKI berhubung masa depan Lim Teong Kim selaku Pengarah Teknikal Akademi Mokhtar Dahari dijangka diketahui pada mesyuarat jawatankuasa pemandu minggu depan.

Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP), Datuk Seri Subahan Kamal berkata, itu antara intipati yang dijangka dibincangkan pada mesyuarat itu yang dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“Soal pelantikan dan sebagainya adalah kuasa menteri. Saya rasa Datuk Ahmad Shapawi (Ismail) selaku pengerusi jawatankuasa kerja akan membawa perkara itu ke dalam mesyuarat.

“Selepas itu kita lihat apa keputusan yang akan dilakukan oleh jawatankuasa pemandu pada minggu depan,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Belia FAM.

Oktober lalu, skuad kendalian Teong Kim gagal menepati sasaran layak ke Piala Dunia B-17 di Peru yang dijadualkan Oktober depan.

Ia sekali gus memaksa penstrukturan semula NFDP dan kedudukannya menjadi persoalan selepas dilaporkan menerima RM175,000 sebulan tanpa dikenakan cukai.

Bagaimanapun Syed Saddiq pada hujung tahun lalu menjelaskan Teong Kim kekal hingga berakhir kontraknya 31 Oktober tahun ini.

Sementara itu Subahan yang juga Timbalan Presiden FAM berkata, pihaknya juga akan memberi maklum balas berhubung perjalanan NFDP.

“Bagi saya program di peringkat akar umbi ketika ini berjalan dengan baik dan tiada masalah,” katanya.

Disiarkan pada: June 13, 2019 @ 11:51pm
d