arena

Akhiri keringat di usia 37 tahun

Oleh Ferzalfie Fauzi

PUTRAJAYA: Dua kali air mata Datuk Lee Chong Wei berguguran pada hari pengumuman rasmi persaraannya semalam, selepas 19 tahun berbakti untuk negara dalam arena badminton.

Paling menyentuh perasaan sebelum beliau datang ke Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Putrajaya disebabkan sekeping nota yang dilakar anaknya.

“Pagi ini apabila saya bangun daripada tidur, isteri saya menghantar sekeping gambar di mana anak saya menulis nota ‘Daddy U Are The Best’. Apabila melihat gambar berkenaan saya terus menangis,” kata Chong Wei dalam sidang media khas di Menara KBS, semalam.

Kali kedua bekas pemain nombor satu dunia itu menitiskan air mata apabila beliau mengucapkan terima kasih kepada semua jurulatih di dalam ucapannya ketika sidang media dan ketika tiba di bahagian staf sokongan nadanya tersekat-sekat sehingga terpaksa berhenti selama seminit.

“Paling penting ialah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) 19 tahun saya berada di sini. Ucapan terima kasih paling istimewa juga kepada semua jurulatih, Datuk Misbun Sidek, saya tidak pasti beliau berada di sini atau tidak. Begitu juga dengan Hendrawan, Datuk Tey Seu Bock.

“Kepada semua yang mengiringi saya selama 13 tahun, fisioterapi Institut Sukan Negara (ISN), Abang Fadil (Fadzil Salleh), jurulatih peribadi saya, Roesdi Abd Ghani, Sandra Fiedler (fisioterapi)....(Chong Wei menangis dalam tempoh seminit).

“Keputusan ini dibuat selepas saya membuat pemeriksaan di Taiwan April lalu. Saya kembali dan berbincang dengan keluarga serta bersama BAM. Sebelum pergi jurulatih peribadi saya meminta saya bertanyakan kepada doktor satu soalan ‘ketika menjalani latihan keras bagaimana untuk saya kembali pulih’.

“Selepas itu, doktor melihat surat berkenaan dan berkata, latihan badminton memerlukan intensiti tinggi. Saya berbincang dengan isteri (Datin Wong Mew Choo) dan dia suruh saya berehat. Bagi saya memang berat untuk meneruskan latihan, selepas kembali ke Malaysia saya meminta cuti selama sebulan dan bersedia berjumpa YB Syed Saddiq dan Datuk Norza. Memang berat untuk melakukan keputusan ini, tapi lebih penting adalah tahap kesihatan saya,” katanya.

Dalam pada itu, Chong Wei dalam akaun rasmi Facebook miliknya, menyebut beberapa nama legenda yang sudah bersara dan masih aktif seperti Lin Dan, Taufik Hidayat, Peter Gade dan Lee Hyun Il.

“Masa saya sudah tiba, terima kasih di atas pertarungan sengit yang kita harungi selama ini. Ia sangat menakjubkan, saya rasa era kita menuju penamat. Kento Momota, Viktor Axelsen, Shi Yuqi dan Lee Zii Jia akan menyambung serta menjadikan badminton sebagai sukan terbaik di dalam dunia,” katanya.

Chong Wei yang muncul juara Terbuka Malaysia sebanyak 12 kali juga mengakui akan berbincang bersama Syed Saddiq dan BAM bagi membantu meningkatkan kembali sukan badminton.

“Saya tidak boleh katakan menyesal dengan keputusan ini apa lebih penting ialah kesihatan saya. Beberapa kali saya katakan keputusan ini bukan mudah. Sudah sebulan saya berbincang dengan keluarga.

“Pertama sekali saya mahu berehat sebab saya masih berhutang dengan isteri selepas berkahwin. Saya masih belum berbulan madu. Semua orang tahu bahawa jadual saya padat sepanjang tahun dan tidak boleh mengambil cuti lama kerana badminton tidak boleh membuatkan seseorang berehat dalam tempoh lama,” kata Chong Wei.

Ditanya mengenai detik paling diingati dan kemenangan paling bermakna, pemain kelahiran Bagan Serai, Perak ini mengakui beliau masih terkenang saat kali pertama tumpas di pusingan pertama di Seluruh England dan ketika berdepan kes doping.

“Kemenangan paling bermakna ialah ketika final Terbuka Malaysia 2006, di mana Lin Dan mendahului rubber set 20-13, di mana dia hanya memerlukan satu mata dan saya pula perlu meraih lapan mata (Chong Wei menang 21–18, 18–21, 23–21,” katanya.

Disiarkan pada: June 14, 2019 @ 8:30am
d