arena

Marzuki harap Suresh tidak leka

Oleh Aida Adilah Mat

JURULATIH memanah, Marzuki Zakaria meminta agar atlet para negara, S Suresh untuk terus kekal fokus memburu lebih banyak kejayaan selepas ini.

Marzuki berkata, kejayaan bergelar juara dunia hanya satu permulaan dalam perjalanan karier atlet itu yang mampu menjadi pembakar semangat melakar lebih banyak kejayaan selepas ini.

Tegas Marzuki, sukan memanah adalah sukan terbuka dengan sesiapa saja berpeluang untuk menang.

"Dalam sukan memanah ini siapa saja boleh menang. Kemenangan Suresh di Belanda juga satu rezeki kerana pada mulanya saya hanya harap dia dapat melayakkan diri ke Olimpik Tokyo. Jadi saya harap dia tidak leka.

"Memanah ini silap sikit atlet itu akan jatuh ke bawah. Jadi kita perlu berusaha bersama-sama untuk maju ke depan," katanya.

Katanya, Suresh perlu terus bergerak ke depan dan cuba meningkatkan tahap prestasi untuk menjadi yang lebih baik daripada apa yang dicapainya hari ini.

"Saya harap Suresh tidak leka dengan apa yang dia capai hari ini, terus pandang ke depan untuk melakarkan lebih banyak kejayaan.

"Saya mahu dia tingkatkan lagi latihan dan mencatatkan kutipan mata yang lebih baik selepas ini dan jika ada rezeki saya mahu dia beraksi dengan atlet normal," katanya.

Suresh menempah sejarah dalam sukan negara apabila menjadi atlet para negara pertama menyumbangkan emas di Kejohanan Memanah Para Dunia 2019 di ‘s-Hertogenbosch, Belanda, Ahad lalu.

Kali terakhir Malaysia meraih pingat pada kejohanan berkenaan adalah menerusi Allahyarham Salam Sidek yang meraih gangsa dalam edisi 2011 di Turin, Itali.

Disiarkan pada: June 14, 2019 @ 3:46pm
d