arena

Perkukuh dana, layanan sama rata

Oleh Aida Adilah Mat

TAMPUK pimpinan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) bakal bertukar apabila Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin menawarkan diri bagi merebut jawatan nombor satu badan induk itu bagi penggal akan datang.

Ia susulan selepas presiden sedia ada, SM Nasarudin SM Nasimuddin mengumumkan untuk tidak bertanding pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MPM itu.

Membawa slogan ’My Paralimpian My Hero’, Megat berkata, beliau akan berusaha meningkatkan kesedaran masyarakat untuk melihat sukan para tiada bezanya dengan sukan bagi atlet normal.

Malah, beliau turut berjanji memperkukuhkan dana yang akan menjadi perkara pertama akan dilakukannya sekiranya diberikan kepercayaan memimpin MPM.

"Selain mencari dana saya akan berusaha mengeratkan hubungan MPM dengan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) dan Jawankuasa Paralimpik Asia.

"Malah akan memastikan atlet para mendapat layanan sama rata dengan atlet normal dari segi peruntukan dan imbuhan," katanya.

Beliau yang turut dilantik menjadi chef de mission (CDM) negara ke Sukan Para Asean Ke-10 Filipina 2020 menawarkan diri untuk bertanding jawatan presiden pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) 29 Jun ini.

Katanya, MPM dibarisi individu yang berdedikasi sebelum ini namun ia perlu ditambah baik dari aspek individu yang mempunyai kepakaran untuk membina hubungan yang baik dengan syarikat korporat selain mampu menaikkan imej dan memastikan atlet para mendapat layanan sama seperti atlet normal.

"Saya mempunyai seorang anak yang berdepan masalah kekurangan dari aspek fizikal jadi saya memahami anak-anak yang berdepan cabaran fizikal.

"Terima kasih kepada MASCA dan ahli gabungan yang melantik saya menjadi presiden badan induk itu dan disebabkan pelantikan inilah saya dapat juga bergiat aktif dalam sukan para," katanya.

Disiarkan pada: June 14, 2019 @ 4:22pm
d