arena

Kempunan emas Kejohanan Asia

Oleh Azlan Muhammad Zain

THAILAND dan Indonesia menjadi penghalang skuad sepak takraw negara yang terlepas emas pada Kejohanan Asia di Kunming, China berakhir hari ini.

Indonesia muncul juara acara beregu apabila menumbangkan gandingan negara yang dibarisi Noraizat Nordin, Amirul Zazwan Amir dan Azli Ahmad Zaki pada aksi final.

Pasangan negara memberikan tentangan sengit pada set pertama apabila tewas tipis 21-23 namun lawan bijak mengawal perlawanan untuk mencatat keputusan 2-0 apabila menang 21-16 pada set kedua.

Terdahulu dalam acara regu Rabu lalu menyaksikan skuad negara terus dihantui Thailand apabila kecundang 0-2 pada pertembungan final.

Thailand yang diketuai tonggak berpengalaman, Pattarapong Yupadee menewaskan Malaysia 21-11, 21-13 untuk muncul juara.

“Pemain cuba memberikan yang terbaik dan hanya mampu menjadi naib juara bagi kategori lelaki dan wanita.

“Berakhirnya perjuangan pada kejohanan ini dengan empat perak yang boleh dibanggakan,” menurut entri di laman Facebook rasmi Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM).

Skuad wanita yang bertanding dalam Divisyen 2 turut meraih dua perak dalam acara regu dan beregu pada kejohanan yang bermula sejak awal minggu ini.

Disiarkan pada: June 14, 2019 @ 6:54pm
d