arena

Tunggu lagi 15 tahun

Oleh Ferzalfie Fauzi

KUALA LUMPUR: Tanpa berselindung, ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek mengakui Malaysia perlu menunggu antara 10 hingga 15 tahun lagi untuk mempunyai pemain setanding Datuk Lee Chong Wei.

Menurut legenda perseorangan lelaki negara itu, seseorang pemain itu harus mempunyai kekuatan dalaman dan memiliki kehendak luar biasa barulah mampu untuk menjadi seperti Chong Wei.

“Kita tidak perlu fikir jauh, dapat bimbing sehingga setaraf Wong Choong Hann dan Rashid Sidek pun sudah memadai apabila mereka konsisten meraih gelaran Siri Super,” katanya ketika ditemui media di Akademi Badminton Malaysia (ABM) semalam.

Misbun berkata, buat masa sekarang pemain dari negara lain juga tidak mampu setanding Chong Wei dan rakan-rakannya.

“Bagi menjadi pemain terbaik dunia kita harus mencapai purata 95 peratus. Pemain perseorangan yang ada sekarang hanya 85 hingga 90 peratus. Sebagai contoh Chen Long (China) masih belum stabil, Chou Tien Chen (Taiwan) dan Kento Momota (Jepun) baru 92 peratus.

“Hanya Chong Wei, Lin Dan (China), Taufik Hidayat (Indonesia) dan Peter Gade (Denmark) saja yang sama tahap iaitu 95 peratus. Pemain yang ada sekarang seperti yo-yo, mungkin disebabkan corak ketegangan zaman sekarang dan banyak kejohanan membuatkan mereka tidak stabil,” katanya.

Dalam pada itu, Misbun berkongsi detik penuh emosional ketika Chong Wei datang ke rumahnya Isnin lalu, untuk memberitahu mengenai hasrat untuk bersara.

“Jadi ketika itulah masa yang sangat emosional. Beliau datang dan mengucapkan terima kasih kepada saya. Saya pun berterima kasih kepadanya kerana tanpa beliau siapalah saya. Sebenarnya kami sentiasa bekerjasama.

“Saya menganggap beliau sebagai anak murid dan beliau juga merasakan saya seperti guru serta bapanya. Kami seperti satu keluarga dan saling bekerjasama. Ketika dia ingin menyatakan persaraannya saya seolah-olah sudah mengetahui kerana deria itu saya nampak dari awal lagi.

“Apa yang penting bagi saya adalah kesihatannya. Selama 20 minit kami berbual dan bincang dari hati ke hati. Ketika itu saya tengok kami sangat emosional,” kata Misbun dalam nada suara tersekat-sekat.

Misbun mengakui beliau mempunyai dua perasaan ketika Chong Wei mengumumkan persaraan kelmarin iaitu berasa sedih selepas pelbagai pahit maung ditempuhi dengan bekas pemain nombor satu dunia itu dan kedua gembira kerana anak muridnya berjaya melawan penyakit kanser.

Disiarkan pada: June 15, 2019 @ 8:30am
d