arena

Kubo bangga digelar 'Messi Jepun'

Oleh AFP

PEMAIN remaja yang baharu sahaja menyertai Real Madrid Takefusa Kubo berkata adalah menjadi satu ‘penghormatan’ apabila digelar ‘Messi Jepun’ ketika bercakap kepada media sewaktu Copa America semalam.

Awal hari itu, kelab gergasi Sepanyol itu mengumumkan pemain berusia 18 tahun berkenaan menyertai juara Eropah 13 kali itu daripada FC Tokyo, untuk beraksi bersama pasukan B kelab itu musim depan.

“Digelar Messi Jepun adalah satu penghormatan dan membuatkan saya bangga tetapi saya masih belum berada setaraf dengannya dan saya lebih suka menumpukan terhadap kebolehan dan kekuatan saya,” kata Kubo yang berada di kem skuad Jepun untuk Copa America di Sao Paolo.

Seperti juga Messi, Kubo turut menyertai Barcelona ketika masih kecil - iaitu berusia 10 tahun - namun meninggalkan kelab itu pada 2015 selepas kelab Catalan itu dihukum oleh badan induk bola sepak dunia FIFA kerana melanggar peraturan membeli pemain di bawah umur.

Skil menggeleceknya - yang membuatkannya dibandingkan dengan Messi - menjadikannya sensasi Youtube ketika kanak-kanak.

Biarpun dilambung pujian, dia masih berharap dapat dihargai kerana kemampuan sendiri.

“Ada beberapa pemain seperti saya, tetapi saya adalah saya, bukan pemain lain,” katanya dalam bahasa Sepanyol.

Kubo tidak dibenarkan bercakap mengenai perpindahannya kerana tidak mahu mengganggu persediaan Jepun untuk Copa.

Dia menandatangani kontrak enam tahun bernilai dua juta euro (RM9.35 juta) setahun, menurut media Sepanyol dan Jepun.

Disiarkan pada: June 15, 2019 @ 8:55am
d