arena

Lega dapat ikat JDT

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

PENGENDALI PKNP FC, Abu Bakar Fadzim menyifatkan keputusan seri yang mengikat pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, di sini, malam tadi sebagai keputusan yang baik untuk pasukannya.

Jelas Abu Bakar, setiap mata adalah sangat penting untuk pasukannya dalam perlawanan yang masih berbaki enam perlawanan.

“Saya dapat lihat kesungguhan dan komitmen yang tinggi pemain pada perlawanan malam ini serta saya rasa pemain juga sudah faham hala tuju.

“Bagi saya satu mata dengan JDT bukan mudah, cuma pada malam ini kita dapat mengekang dan hampir boleh mendahului untuk pasukan PKNP FC,” katanya pada sidang media, malam tadi.

Abu Bakar berkata, perlawanan malam tadi juga membuktikan pasukannya tidak gentar bertemu dengan JDT yang mempunyai kelas tersendiri malah mempamerkan aksi terbaik dengan melakukan asakan ke gawang lawan dan menghalang skuad Harimau Selatan itu menambah jaringan.

“Saya rasa pemain saya tidak takut memberi tekanan untuk mencabar nama besar, pasukan JDT dan untuk satu mata bagi saya ia keputusan yang baik untuk PKNP FC.

“Kita bermain dengan terbaik untuk (cuba) menyaingi JDT dan malam ini kita dengan sedikit tuah yang menyebelahi PKNP FC (keputusan seri) dan saya berharap momentum ini dapat dikekalkan untuk kita bertemu pasukan seterusnya nanti,” katanya.

Katanya, kemasukan dua pemain pinjaman dari Perak, Muhamad Syazwan Zaipol Bahari dan Nazirul Afif Ibrahim menunjukkan keberkesanan di benteng pertahanan PKNP FC dan dan barisan hadapan juga semakin menunjukkan ketajamanan.

Sementara itu, Ketua Jurulatih JDT, Benjamin Mora menyifatkan pasukannya tidak bernasib baik dalam perlawanan malam tadi dan biarpun kurang berpuas hati, namun tetap bangga dengan persembahan anak didiknya.

Katanya, pasukannya sudah bermain sebaik mungkin, namun empat sepakan anak buahnya hanya sekadar menyinggah tiang gol dan tiada tambahan gol sehingga keputusan seri itu kekal sehingga tamat perlawanan.

“Kami juga dihadiahkan sepakan penalti untuk mendahului pihak lawan namun sepakan itu juga gagal. Saya rasa kami tidak bernasib baik dalam perlawanan malam ini dan hanya memperolehi satu mata.

“Kami cipta banyak peluang untuk ‘score’ dan saya gembira dengan pemain biarpun terpaksa bermain dengan sepuluh pemain sahaja, kita tidak menyerah kalah,” katanya.

Disiarkan pada: June 15, 2019 @ 12:54pm
d