arena

Terengganu belum pasti siapa ganti Irfan

Oleh Malik Muhamad

"SABAR dulu," demikian reaksi Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil mengenai jawatan 'kerusi panas' ketua jurulatih baru skuad itu.

Beliau berkata, setakat ini pihak pengurusan masih belum lagi berbincang mengenai jawatan pengendali skuad Penyu selepas ketua jurulatih sebelum ini, Irfan Bakti Abu Salim bertindak meletak jawatan.

"Kita tidak bincang apa-apapun lagi setakat ini mengenai pengendali baru pasukan, spekulasi terlampau hebat.. kita putuskan penolong jurulatih, Nafuzi Zain sebagai pengendali sementara pasukan selepas peletakan jawatan Irfan.

"Selepas beberapa perlawanan, baru kita akan nilai semula perkara itu dan setakat ini kita akan lihat dulu macam mana prestasi pasukan," katanya yang mendedahkan banyak permohonan diterima PBSNT.

Pada 15 Mei lalu, Irfan yang bertanggungjawab mengenai prestasi tidak konsisten pasukan termasuk tewas mengejut 3-5 kepada pendatang baharu Liga Super, Petaling Jaya City FC meletak jawatan secara mengejut dalam mesyuarat khas PBSNT.

Berikutan itu, Nafuzi yang juga bekas penyerang skuad Terengganu musim 2001 diumumkan sebagai pemangku ketua jurulatih dengan dibantu dua lagi jurulatih berpengalaman, Mohamad Nik dan Kamaruddin Anuar.

Sebelum ini, kerusi panas skuad Penyu itu menjadi rebutan beberapa jurulatih terkenal dari dalam dan luar negara termasuk bekas pengarah teknikal Romania, Marian Mihail untuk mengisi kekosongan jawatan itu.

Mihail, 61, yang memiliki lesen tertinggi kejurulatihan iaitu lesen profesional UEFA serta berpengalaman luas selama 40 tahun melatih beberapa negara dan kelab sekitar Eropah dan Asia adalah bekas pemain kebangsaan Romania dari 1979-1985.

Selain memiliki rekod cemerlang sebagai jurulatih tertarik untuk datang ke Malaysia melatih pasukan Liga Super kerana menyifatkan liga itu antara liga terbaik di rantau Asia Tenggara.

Selain Mihail, bekas jurulatih T-Team dari Croatia, Tomislav Steinbruckner, Rahmad Darmawan (Indonesia) dan Azlan Johar juga dilaporkan berminat untuk melatih skuad itu.

Turut berminat dan sudah menghantar borang permohonan kepada PBSNT ialah bekas pemain pertahanan Terengganu era 90-an, Mohamad Ishak Kunju Mohamad yang memiliki lesen pro A.

Disiarkan pada: June 15, 2019 @ 6:29pm
d