arena

Jangan main politik kotor: Karim

Oleh Azlan Muhammad Zain

PRESIDEN Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim mengingatkan agar tiada pihak cuba bermain "politik kotor" untuk merencatkan usahanya mempertahankan jawatan pada pemilihan mesyuarat agung tahunan (AGM) yang dijadualkan pada hujung bulan ini.

Karim yang mula memegang kerusi nombor satu KOM sejak 2014 mengintai peluang untuk mempertahankan jawatan buat kali ketiga berturut-turut pada pemilihan 30 Jun nanti.

Bagaimanapun hasrat Karim untuk kekal dalam tempoh tiga tahun lagi dilihat bakal dicabar apabila terdapat spekulasi terdapat pemimpin kanan KOM sendiri akan mencabarnya.

"Ini adalah pertandingan yang terbuka, jangan sesekali bermain politik kotor...jangan membuat fitnah, surat layang serta khabar angin mengenai perkara yang tidak betul. Ia seolah-olah mencerminkan persatuan itu sendiri.

"Bagi saya untuk seseorang individu berkenaan layak bertanding, dia perlu mengetahui selok-belok olahraga, menjaga atlet, mempunyai masa untuk bekerja serta kepentingan atlet...jika tiada semua ciri ini, tidak perlu bertanding," jelasnya ketika ditemui pada Perhimpunan Agung Tahunan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) hari ini.

Panel bebas diketuai bekas Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi akan membuka sampul pencalonan dari ahli gabungan KOM pada petang Isnin selepas berakhir tempoh yang dibenarkan.

"Saya sentiasa mendapat sokongan dari ahli gabungan kerana ini bukan kali pertama bertanding namun biar mereka menilai sendiri kerja yang sudah saya lakukan sepanjang memegang jawatan. Mereka juga perlu membandingkan apa yang dilakukan calon lain," katanya.

Disiarkan pada: June 15, 2019 @ 6:51pm
d