arena

Kelantan, UiTM sama liat

Oleh Attirmidzie Rahman

KEPUTUSAN seri tanpa jaringan menentang Kelantan pastinya membuatkan jurulatih skuad Universiti Teknologi Mara (UiTM) ‘berang’ tatkala mempunyai peluang terbaik melebarkan kedudukan di puncak Liga Perdana.

Ketika, pencabar terdekat Johor Darul Ta’zim II (JDT II) kembali merampas kedudukan di puncak liga selepas menundukkan Terengganu FC II (TFC II), 5-0 malam tadi.

Ketua jurulatih UiTM FC, Ismail Zakaria, mengakui bernasib baik meraih satu mata berharga apabila terpaksa berhempas pulas mengikat The Red Warriors (TRW) 0-0 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

"Dalam babak pertama, pasukan saya agak goyah dan serba tidak menjadi. Mungkin faktor rehat lama (sebelum dan selepas Hari Raya Aidilfitri) menjejaskan sedikit prestasi pasukan.

"Saya akui Kelantan memiliki pemain muda yang hebat dan berbakat. Bila kita buat perbandingan (antara pemain muda), pemain saya tidak sehebat pemain Kelantan.

"Cuma, mereka (Kelantan) tidak bernasib baik apabila melepaskan dua peluang baik untuk menjaringkan gol kemenangan. Namun, keseluruhannya kejayaan meraih satu mata di tempat lawan sudah cukup baik untuk kami," kata Ismail sambil mengakui penyerang utama, Zarko Korac, gagal beraksi dengan baik kerana kekurangan sokongan daripada rakan sepasukan.

Sementara itu, rakan seangkatannya, Yusri Che Lah pula berkata, ketiadaan dua tonggak utama Danial Haqim Deraman dan Azwan Aripin yang mengalami kecederaan tidak menjejaskan momentum permainan anak buahnya.

"Saya kagum dengan aksi Asyraf yang mengambil alih posisi Danial Haqim. Asyraf yang baharu berusia 18 tahun menunjukkan kematangannya walaupun pertama kali beraksi tanpa menunjukkan rasa gugup.

"Bagi saya satu mata dengan UiTM bukan keputusan yang dicari, namun kita hampir meraih kemenangan pada malam ini walaupun hanya beraksi dengan seorang penyerang import, Seydi I'iman. Seydi berjaya memberi suntikan semangat kepada barisan pemain muda.

"Pada masa sama, pertahanan berpengalaman, Farisham Ismail menunjukkan keberkesanan di benteng pertahanan Kelantan dalam menyekat kemaraan barisan penyerang UiTM merobek gawang pasukan ," katanya.

Disiarkan pada: June 15, 2019 @ 8:59pm
d