arena

KLFA pecat sembilan ahli gabungan

Oleh Firdaus Hashim

PERSATUAN Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) memecat sembilan ahli gabungan yang sengaja menimbulkan kekecohan hingga mengakibatkan kongres pemilihan badan induk itu tertangguh sejak Disember tahun lalu.

Perkara itu disahkan Presiden KLFA, Datuk Seri Adnan Md Ikhsan pada sidang media sejurus tamat Mesyuarat Agung kali ke-31 hari ini.

Menurutnya, keputusan itu diambil selepas Jawatankuasa Siasatan mendapati bahawa, sembilan ahli gabungan berkenaan jelas melanggar statut persatuan yang tidak mengikut saluran betul untuk menyuarakan aduan atau isu berbangkit.

"Kemelut yang melanda KLFA sejak Disember lalu sedikit sebanyak mengganggu perancangan pasukan. Biarpun ada saluran yang disediakan untuk ahli gabungan menyuarakan pandangan atau aduan, mereka sebaliknya melanggar status persatuan.

"Bagi menjalankan siasatan, kita menubuhkan Jawatankuasa Siasatan untuk mengetahui masalah. Kita dah bagi surat tunjuk sebab selama 14 hari untuk mengetahui masalah tetapi tak ada seorang pun yang membalas surat berkenaan.

"Tapi kita tetap bagi peluang kedua sebab nak tahu juga apa masalah sebenarnya. Tapi sama juga, daripada sembilan hanya satu ahli gabungan yang bersuara.

"Jadi kita berpandangan mereka tidak sehaluan lagi dan memecat keahlian mereka. Daripada 31 ahli gabungan tetap kita kini tinggal 21, dengan 31 lagi ahli bersekutu untuk menjadikan 52 ahli KLFA," katanya pada sidang media itu.

Sembilan kelab yang dipecat berkuatkuasa Khamis lalu itu ialah Kelab bola sepak Sime Darby, VI Institution, Bukit Bandaraya, Bank Rakyat, Kelab bola Depak Putrajaya, Petaling Putra, FELCRA, UNIKL dan Subadron Akademi.

Terdahulu, kemelut yang melanda KLFA itu membabitkan perebutan pencalonan jawatan menyaksikan kongres persatuan itu digantung Pesuruhjaya Sukan sebelum ini.

Namun, kemelut terbabit tidak berpenghujung selepas beberapa aduan antara ‘dua kem’ yang mahu bertanding menyebabkan kongres terbabit terus tergantung sehingga hari ini.

Sementara itu, Adnan turut mengesahkan kongres pemilihan akan dilangsung pada November ini selepas mendapat kebenaran Pesuruhjaya Sukan.

Disiarkan pada: June 15, 2019 @ 9:16pm
d