arena

Sabah rampas tangga kedua Liga Perdana

Oleh Ryan Stanley

SABAH terus memberi saingan sengit dalam memburu kejuaraan Liga Perdana musim ini selepas menewaskan Negeri Sembilan (NS) 1-0, di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam ini.

Tuan rumah beberapa kali mencemaskan pintu gol lawan menerusi gerakan Rodoljub Paunovic dan Alto Linus namun gagal disudahkan dengan baik.

Pelawat pula mempertaruhkan bahagian serangan menerusi Muhammad Ferris Danial Mat Nasir namun gagal memecah kebuntuan jaringan.

Alto Linus menjadi wira skuad Tembadau menerusi jaringan tunggal perlawanan pada minit ke-65 berikutan keadaan kelam kabut di dalam kotak penalti NS.

Jaringan itu mendapat bantahan pemain dan barisan jurulatih NS apabila mendakwa salah seorang pemain Sabah berada pada kedudukan offside namun pengadil tetap memberikan gol itu kepada tuan rumah.

Pada minit ke-72, NS hampir menyamakan kedudukan menerusi rembatan Abdul Halim Zainal, namun, ianya berjaya ditampan keluar oleh Rozaimie Rohim.

Sabah terlepas peluang menambah jaringan apabila cubaan Ahmet Atayev yang tidak dikawal sekadar melepas palang gol NS di hujung babak permainan dan kedudukan kekal sehingga pengadil perlawanan meniupkan wisel penamat.

Kemenangan itu menyaksikan Sabah mendaki ke tangga kedua selepas mengumpul 28 mata daripada 14 perlawanan, hanya satu mata di belakang pendahulu liga, Johor Darul Ta'zim II (JDT II).

Disiarkan pada: June 15, 2019 @ 10:34pm
d