arena

Malaysia gagal kekal bersaing di Liga Premier Asia

Oleh BERNAMA

MALAYSIA gagal mengekalkan tempat dalam saingan Liga Premier Ragbi Asia (ARC) pada musim 2020 selepas kalah tiga perlawanan pada saingan Liga Premier musim ini.

Biarpun menampilkan persembahan memberangsangkan, skuad Bunga Raya, yang menghuni ranking ke-48 dunia, tidak dapat menandingi kehebatan pasukan juara bertahan Hong Kong, apabila tewas 30-25 di Stadium Bola Sepak Hong Kong, hari ini.

Bagaimanapun, pengumuman rasmi Malaysia turun ke saingan Divisyen 1 musim depan akan dilakukan oleh Kesatuan Ragbi Asia (ARFU) selepas perlawanan terakhir antara Hong Kong dan Korea Selatan pada 29 Jun ini.

Malaysia akan melengkapkan jadual Liga Premier musim ini dengan menentang Hong Kong pada perlawanan timbal balik di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 22 Jun ini.

Malaysia memulakan kempen musim ini dengan kekalahan teruk 14-52 kepada Korea Selatan (ranking ke-30 dunia) di Stadium Namdong Asiad di Incheon, Korea Selatan, pada 18 Mei lalu diikuti kekalahan 16-38 pada perlawanan timbal balik di Stadium Nasional Bukit Jalil, dua minggu kemudian.

Malaysia layak ke Liga Premier pada 2017 selepas menjuarai Divisyen 1 dan tahun lalu menamatkan saingan di tangga tercorot dan kekal di Liga Premier musim ini berikutan perubahan format pertandingan.

Disiarkan pada: June 15, 2019 @ 11:03pm
d