arena

Tenang hadapi final

Oleh Azlan Muhammad Zain

PERSATUAN Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) percaya peluang seimbang kepada Khairul Anuar Mohamad untuk memastikan emas di pentas final malam ini.

Khairul Anuar hanya selangkah muncul juara dunia pertama negara bagi atlet normal selepas mara ke final bertemu pemanah Amerika Syarikat (AS), Brady Ellison di Kejohanan Dunia di ‘s-Hertogenbosch, Belanda.

“Apabila bertemu pemanah dari AS, peluang adalah seimbang. Kita cuma khuatir sekiranya pemanah negara terpaksa bertemu lawan dari Korea Selatan yang sentiasa menjadi badi.

“Namun saya percaya peluang kini seimbang kerana mereka pernah dua kali bertemu di peringkat antarabangsa dengan masing-masing menang sekali.

“Saya ada bertemu Khairul Anuar, dia kelihatan OK seperti kebiasaannya walaupun sedar cabaran tinggi perlu dihadapinya. Dia tidak gementar dan tidak mahu melepaskan peluang terhidang ini,” jelas Setiausaha Kehormat NAAM, Datuk Abdul Hamid Hasan.

Ellison yang jelas mempunyai pencapaian cemerlang apabila meraih pelbagai kejuaraan termasuk pingat Olimpik sejak mula bersaing di pentas antarabangsa pada 2006.

Bagaimanapun menurut Abdul Hamid, ia tidak dilihat sebagai kelebihan besar kerana ia bergantung sepenuhnya terhadap prestasi pada hari pertandingan.

Jelas Abdul Hamid, persatuan turut akan berusaha menyediakan ganjaran kepada Khairul Anuar selain ganjaran RM80,000 bagi emas menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM).

Pada beberapa hari lalu, pemanah paralimpik negara, S Suresh melakar sejarah apabila bergelar juara dunia di lokasi yang sama.

Disiarkan pada: June 16, 2019 @ 6:30am
d