arena

'4sm saja lagi' kata Nauraj

Oleh Aida Adilah Mat

ATLET lompat tinggi negara, Nauraj Singh mengejar 4 sentimeter (sm) lagi untuk membolehkannya layak buat kali kedua ke Kejohanan Dunia di Doha dari 28 September hingga 6 Oktober depan.

Selepas melakar pencapaian terbaik musim ini dengan catatan 2.26m di kejohanan Kurtulus Springer, Jerman minggu lalu, ia memberi impak terbaik buat atlet itu terus memburu ketinggian 2.30m untuk layak secara merit ke Kejohanan Dunia.

Nauraj dihubungi berkata, dia kini berada dalam keadaan terbaik dengan persekitaran positif memungkinnya dia mencapai apa yang disasarkan.

"Semua di sini berjalan lancar.

Suasana dan rakan sepelatih yang hebat membuatkan saya semakin bersemangat untuk memperbaiki lompatan.

"Ini adalah kali ketiga saya melepasi ketinggian 2.26m dalam karier saya.

Saya pernah melakukannya sebelum ini di Olimpik Rio 2016 dan Kejohanan Dunia 2017 di London.

"Kejayaan ini membuatkan saya mendapat keyakinan dan semakin tidak sabar untuk terus membuat yang terbaik," katanya.

Nauraj menjadi atlet olahraga negara pertama layak secara merit tanpa menggunakan status wild card ke Kejohanan Dunia selepas melakukan catatan 2.30m di Kejohanan Terbuka Singapura pada 2017.

Atlet berusia 27 tahun yang berketinggian 1.93m itu juga adalah atlet pertama layak ke Olimpik secara merit selepas Olimpik Beijing 2008 menerusi Roslinda Samsu, Lee Hup Wei dan Yuan Yifang layak secara merit.

Menurut Nauraj ketinggian 2.26m itu adalah ketinggian ketiga yang berjaya dilepasinya yang sebelum ini pernah melakukan 2.29m dan 2.30m.

Ia sekali gus memperbaiki pencapaian terbaiknya tahun lalu apabila sekadar melepasi halangan 2.24m.

Disiarkan pada: June 16, 2019 @ 2:40pm
d