arena

Tok Gajah tidak rela dipintas

Oleh Asrol Awang

SKUAD Pahang akan mempertahankan kedudukan di tangga kedua Liga Super bagi mengelak dipintas Selangor, Kedah dan Melaka yang semakin hampir merapatkan jurang mata.

Justeru, pengurus Tok Gajah, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, skuad kendalian Dollah Salleh diminta kekal fokus dan memastikan keputusan positif diraih pada baki tujuh perlawanan.

"Oleh itu, Pahang yang akan menerima kunjungan PKNP FC di Stadium Darul Makmur Selasa ini, diharap kembali mencatat kemenangan.

"Ketika Johor Darul Ta'zim (JDT) semakin jauh meninggalkan pasukan lain, kami perlu bekerja keras untuk mengekalkan kedudukan di tangga kedua daripada dirampas lawan.

"Dengan komitmen dan semangat, semua pemain perlu mempamerkan prestasi terbaik dengan menamatkan saingan liga lebih baik," katanya.

Ketika ini, Pahang yang mengutip 27 mata berada di tangga kedua liga semakin dihampiri Selangor dengan berbekal 25 mata manakala Kedah dan Melaka United pula masing-masing menungut 23 mata.

Ditanya gandingan Dickson Nwakaeme dan Lazarus Kaimbi, Mohammaed Suffian mahu dua penyerang import itu lebih padu untuk merobek gawang PKNP.

Katanya, kegagalan menjaringkan gol ketika seri 0-0 berdepan Kedah kelmarin, perlu dijadikan pencetus semangat untuk lebih menyerlah.

"Pada masa sama, mereka juga baru kali pertama digandingkan dan sudah tentu mengambil masa untuk mereka mendapat keserasian.

"Tapi, pada perlawanan kedua saya mengharapkan persefahaman Nwakaeme dan Kaimbi membantu pasukan untuk kembali mencatat kemenangan," katanya.

Disiarkan pada: June 16, 2019 @ 3:39pm
d