arena

Pogba bayang tinggalkan Old Trafford

Oleh Reuters

PEMAIN tengah Manchester United, Paul Pogba membayangkan dia sedia meninggalkan kelab Liga Perdana Inggeris itu, memberitahu wartawan di Tokyo kini “mungkin masa terbaik untuk mencari cabaran baharu di tempat lain.”

Pemain Perancis itu dikaitkan oleh media Britain dengan perpindahan ke Real Madrid untuk bermain di bawah kendalian jurulatih Zinedine Zidane atau kembali ke bekas kelabnya Juventus.

Tempoh Pogba di Manchester United menyaksikan beberapa persembahan buruk di tengah padang dan pertelingkahan di kelab itu.

“Seperti anda katakan, ada banyak percakapan dan banyak juga pandangan,” kata Pogba, 26, kepada wartawan di Tokyo hari ini.

“Sudah tiga tahun saya beraksi di Manchester dan melakukan perkara hebat; beberapa saat bagus dan detik menyukarkan, seperti setiap orang. Seperti di tempat lain juga.

“Selepas musim ini dan apa juga yang berlaku musim ini, saya fikir ia mungkin saat yang baik untuk mencuba cabaran baharu di tempat lain.”

“Saya memikirkan mengenai perkara ini: untuk mencari cabaran baharu di tempat lain.”

Pogba, yang berpindah ke Old Trafford dari Juventus dengan rekod dunia ketika itu £89.3 juta (RM467 juta) pada Ogos 2016, menyaksikan Jose Mourinho digantikan sebagai jurulatih oleh Ole Gunnar Solskjaer ketika beraksi di kelab itu.

Sekalipun tidak konsisten, pemenang Piala Dunia itu menjaringkan 24 gol dalam 92 penampilan buat United dan dinamakan dalam pasukan terbaik tahunan Liga Perdana PFA musim lalu.

Disiarkan pada: June 16, 2019 @ 5:59pm
d