arena

Uruguay benam Ecuador

Oleh Reuters

URUGUAY membelasah Ecuador 4-0 dalam aksi perlawanan pembukaan pasukan itu di Copa America pagi ini dengan bantuan kekurangan seorang pemain lawan yang diperintah keluar padang pada minit ke-24.

Juara 15 kali Uruguay, mendahului 1-0 seawal enam minit perlawanan menerusi gol Nicolas Lodeiro sebelum Jose Quintero dilayangkan kad merah selepas bantuan VAR menunjukkan dia melakukan kesalahan menyiku pemain lawan dalam persaingan merebut bola.

Pemain yang diperintah keluar padang itu memberi manfaat besar kepada Uruguay apabila Edinson Cavani menjaringkan gol menerusi gaya ‘volley’ akrobatik dan Luis Suarez menjaringkan gol ketiga pada separuh masa pertama.

Uruguay seolah-olah memperlahankan rentak namun kesilapan pada separuh masa kedua menerusi jaringan sendiri Arturo Mina sebelum 12 minit perlawanan berakhir dan disahkan oleh VAR meninggalkan detik perlawanan ngeri buat Ecuador.

Keputusan itu meletakkan Uruguay dikedudukan teratas Kumpulan C dengan Jepun menentang Chile yang berada dalam kumpulan sama akan bertarung esok.

Disiarkan pada: June 17, 2019 @ 9:00am
d