arena

Alonso juara di Le Mans

Oleh Agensi

FERNANDO Alonso mengungguli Perlumbaan Le Mans endurance 24 jam buat tahun kedua berturut-turut bersama rakan pemandu di Toyota, Sebastien Buemi dan Kazuki Nakajima.

Warga Sepanyol yang juga juara dunia Formula 1 (F1) dua kali itu menerusi kereta nombor lapan mendahului ketika berbaki satu jam perlumbaan, turut dinobatkan juara dunia endurance.

Alonso, 37, berkongsi kenderaan itu dengan bekas pemandu F1, Buemi dan Nakajima.

Ia adalah kedudukan satu-dua buat Toyota dengan kereta nombor tujuh TS050 hybrid, menampilkan pelumba Britain, Mike Cinway dikedudukan kedua.

Jentera tujuh, turut dikendalikan Kamui Kobayashi dan Jose Maria Lopez, mendahului hampir keseluruhan perlumbaan sebelum ketinggalan dua pusingan perlumbaan terakhir.

"Saya fikir kereta tujuh lebih pantas daripada kami untuk perlumbaan 24 jam, mereka layak menang namun hari ini tuah berpihak kepada kami untuk merangkul trofi," kata Alonso.

"Nasib baik kadang-kala aksi konsisten sangat penting dalam permotoran dan hari ini kami berasa sangat bernasib baik dan mungkin kami tidak layak menang namun kami tetap memperolehinya."

Kereta nombor lapan melepasi garisan 17 saat mengatasi kereta tujuh selepas 385 pusingan daripada jarak 8.467 batu di litar itu.

Stoffel Vandoorne - bekas rakan sepasukan Alonso di McLaren F1 - turut mengambil bahagian dengan menduduki tempat ketiga berpasukan dengan kereta nombor 11 SMP Racing BR Engineering.

Sebelum tahun lalu, Toyota tidak pernah memenangi perlumbaan sportscar selepas beberapa kali mencuba.

Alonso kini memburu kejuaraan motosport ketiga berturut-turut selepas kejayaan di Le Mans, Grand Prix Monaco dan Indianapolis 500.

Disiarkan pada: June 17, 2019 @ 1:29pm
d