arena

Kesebelasan terbaik Lang Merah ke Shah Alam

Oleh Izzali Ismail

KETUA jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak berharap kekuatan penuh skuad Kedah pada aksi menentang PKNS FC, esok akan memberi semangat tambahan dalam usaha memburu tiga mata di Stadium Shah Alam, esok.

Kehadiran semula tiga tonggak pasukan iaitu Rizal Ghazali, Jonatan Bauman dan Azmeer Yusof yang bebas penggantungan dan tidak beraksi pada perlawanan sebelum ini memberi pilihan lebih baik kepada Aidil.

"Kita tidak mendapat skuad penuh pada beberapa perlawanan sebelum ini akibat kecederaan dan penggantungan kad kuning.

“Sekarang ad peluang menurunkan kekuatan penuh,” katanya.

Aidil berkata lagi: "Kita tidak rela kehilangan mata lagi kerana persaingan kini bertambah sengit dengan Selangor sudah memintas kedudukan ketiga dan pasukan lain seperti Melaka, Perak dan Terengganu sudah pasti mahu melakukan perkara sama .

"Jadi kami perlu lebih fokus, pandang ke hadapan dan mengambil pengajaran penting perlawanan menentang Pahang.

Aidil mahu semua pemain memberi komitmen tinggi dalam memberi usaha terbaik sekalipun skuadnya pernah pernah menang 3-1 ke atas PKNS pada hujung April lalu dalam saingan Piala FA.

"Kita tidak mahu dibayangi keputusan mengatasi PKNS sebelum ini.

Setiap perlawanan kisah baharu dan perlu perancangan lebih baik.

"Kita mengganggap setiap perlawanan sukar dan harus melakukan sesuatu dalam tempoh tiga hari sebelum perlawanan seterusnya.

“Jadual padat untuk pemain dan kita menghormatinya” katanya.

Skuad Lang Merah kini menghuni tangga keempat carta Liga Super setakat ini, mengumpul 22 mata melalui enam kemenangan dan lima keputusan seri.

Disiarkan pada: June 17, 2019 @ 2:40pm
d