arena

Bibi sedia letak jawatan

Oleh BERNAMA

PRESIDEN Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan sedia melepaskan jawatan secara sukarela untuk memberi laluan kepada kongres agung luar biasa (EGM) sekali gus memilih peneraju baharu.

Menurutnya, beliau ketika ini sedang menunggu calon presiden baharu yang akan diangkat oleh beberapa persatuan bola sepak jajahan untuk menggantinya.

“Saya tunggu presiden baharu sebab bila dah ada, saya secara sukarela akan letak jawatan kerana ketika ini urusan kewangan di bahu saya seorang.

“Kalau saya tinggal (letak jawatan) KAFA sekarang, persatuan ini akan ‘mati’ kerana jika EGM mengambil masa lama untuk diadakan, tunggakan hutang semakin banyak.

“Hal ini berlaku ketika Tan Sri Annuar Musa meletak jawatan kerana EGM mengambil masa lama untuk diadakan,” katanya di Kota Bharu, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan persatuan bola sepak jajahan sudah menyenarai pendek nama individu untuk diangkat sebagai presiden baharu antaranya seorang tokoh politik.

“Ia akan mengambil masa dan saya harus bertenang dalam menangani kata-kata yang tidak sesuai diperkatakan terhadap saya.”

Sementara itu, berhubung tuntutan bekas ketua pasukan, Badhri Radzi atau lebih dikenali sebagai Piya, Bibi berkata, pemain itu tidak berhak menuntut gaji bulan Mac dan April kerana pada masa itu dia bermain dengan Red Warrior Kelantan.

“Berpandukan kontrak, gaji pemain itu akan dibayar oleh syarikat Kelantan Red Warrior (KRW) Sdn Bhd dengan jaminan MyInspiration Sdn Bhd.

“Dia (Badhri) tidak seharusnya meletakkan kesalahan kepada KAFA dan sepatutnya memahami segala isi kandungan kontrak sebelum menurunkan tandatangan,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan syarat yang diberikan KAFA kepada pemain itu supaya tidak menuntut tunggakan gaji selama dua bulan untuk musim 2019 sekiranya mahu mendapatkan Sijil Perpindahan Negeri (SPN).

Disiarkan pada: June 17, 2019 @ 6:08pm
d