arena

Khairul anggap pengalaman berharga

Oleh Saiful Affendy Sapran

MESKIPUN gagal bergelar juara dunia, pemanah negara, Khairul Anuar Mohamad menganggap kekalahan kepada Brady Ellison dari Amerika Syarikat pada Kejohanan Dunia di ‘s-Hertogenbosch, Belanda satu pengalaman berharga buatnya.

Jelas Khairul, bukan mudah untuk melangkah ke final apatah lagi muncul juara pada kejohanan itu.

Kejayaan Khairul memenangi perak dalam acara recurve individu itu yang pertama diraih atlet negara pada Kejohanan Dunia. Dia juga mengesahkan tiket ke Sukan Olimpik buat kali ketiga.

“Saya tahu bukan mudah untuk melangkah ke final. Walaupun saya tewas pada aksi penentuan pingat emas, ia tetap satu pengalaman yang amat berharga,” katanya dipetik dalam laman web worldarchery.org.

Pada aksi final malam tadi, Khairul mempamer aksi cemerlang apabila memberi saingan sengit kepada Ellison yang juga pemanah ranking ketiga dunia.

Dia mengikat lawan dalam tiga set awal bagi membolehkan mereka terikat 3-3.

Ellison yang lebih berpengalaman memenangi set keempat untuk mendahului 5-3 sebelum Khairul melakar kejutan dengan memenangi set kelima untuk kedudukan terikat 5-5 sekali gus mengheret saingan ke penentuan shoot-off.

Ellison akhirnya meraih 10 mata maksimum menerusi panahan penentuan dengan Khairul akur lapan mata dan membolehkan pemanah AS itu menang 6-5 untuk bergelar juara dunia.

Disiarkan pada: June 17, 2019 @ 8:31pm
d