arena

Mainan politik?

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

KUALA LUMPUR: Mungkinkah ada unsur politik dalam perebutan jawatan nombor satu dan dua Majlis Paralimpik Malaysia (MPM)?

Itu persoalan yang kini berlegar menjelang Mesyuarat Agung MPM pada 29 Jun ini susulan Presiden MPM, SM Nasarudin SM Nasimuddin mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan disandangnya sejak 2015.

Difahamkan setakat ini bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sah bertanding menentang Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin yang terlebih dulu menghantar pencalonan bagi jawatan itu.

Sementara itu difahamkan, Timbalan Presiden MPM, John Ng Keng Chuan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Etika dan Undang-Undang MPM, sebelum ini mengumumkan tidak akan bertanding, membuat pusingan ‘U’ untuk mempertahankan jawatannya.

Namun, sumber terdekat MPM memberitahu pencalonan Khairy Jamaluddin dan John hanya dibuat pada jam 11.30 malam 15 Jun, sedangkan jelas tertera tarikh akhir penyerahan borang sebelum 15 Jun 2019, bermakna waktu terakhir adalah pada jam 11.59 malam, 14 Jun (Jumaat).

“Ini semua politiklah. Esok (hari ini) kita akan adakan mesyuarat EXCO MPM bagi membincangkan perkara ini (isu penyerahan borang),” katanya.

Sementara itu, media yang hadir di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Malaysia semalam, kecewa apabila tiada pengumuman rasmi calon bertanding bagi semua jawatan termasuk presiden dan timbalan presiden pada Mesyuarat Agung MPM ke-22 seperti dijanjikan pada sidang media sebelum ini.

Setiausaha Kehormat MPM, Siti Zaharah Abdul Khalid, memaklumkan belum dapat mengumumkan senarai itu berikutan sedang meneliti borang pencalonan yang diterima.

“Maaf sebab kami baru menerima (borang pencalonan) sampai jam 11 malam semalam. Jadi memerlukan masa untuk memproses borang yang masuk pada Ahad sebelum dapat betul-betul senarai yang rasmi selepas disaring oleh pengerusi jawatankuasa etika dan undang-undang MPM,” katanya pada sidang media di kompleks sukan itu, semalam.

Katanya, setakat jam 11 malam kelmarin, dua pencalonan diterima bagi jawatan presiden, timbalan presiden dan setiausaha agung, lapan naib presiden dan satu bendahari.

“Mesyuarat Agung MPM akan diadakan pada 29 Jun ini. Jawatan yang akan dipertandingkan masing-masing, satu bagi presiden dan timbalan, lima naib presiden dan satu setiausaha agung dan bendahari,” katanya yang enggan mengulas sama ada Khairy Jamaluddin salah seorang calon bagi jawatan presiden.

Diminta mengulas isu tarikh tutup penghantaran borang itu, Siti Zaharah berkata, pihaknya perlu memberi masa untuk menyaring borang itu.

“Ini borang yang kami terima dan belum disaring. Mungkin (dibatalkan) masa saringan, kami tidak pasti dan serah kepada jawatankuasa untuk bentang pada EXCO,” katanya. Beliau turut menyatakan tidak boleh menjawab isu kelewatan penghantaran borang,sehingga saringan rasmi dibuat.

Disiarkan pada: June 18, 2019 @ 8:30am
d