arena

Eei Hui pening Soon Huat cedera

Oleh Ferzalfie Fauzi

JURULATIH beregu campuran negara, Chin Eei Hui pening memikirkan tahap kecederaan anak buahnya, Goh Soon Huat ketika mereka berada dalam situasi penting untuk memburu mata ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Menurutnya, Soon Huat memang sudah turun latihan namun masih belum berlatih bersama Shevon Lai.

“Saya tak boleh kata kecederaan dia serius atau tidak. Semua sudah dilakukan termasuk pengimejan resonan magnetik (MRI) dan ultrasound namun semuanya tidak nampak apa. Tapi Soon Huat masih mengadu rasa sakit di hamstring,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara hari ini.

Beliau tidak mahu terlalu mendesak supaya Soon Huat segera turun ke gelanggang dan mahu memberi masa buat bekas pemain perseorangan lelaki negara itu sebelum sembuh sepenuhnya.

“Kami juga masih belum pasti sama ada dia mempunyai cukup masa untuk kembali sembuh menjelang Terbuka Indonesia bulan depan. Kami akan bincang semula dengan fisioterapi untuk melihat semula tahap kecederaannya,” kata Eei Hui.

Soon Huat-Shevon berada di ranking ke-13 untuk kelayakan ke Olimpik namun mereka terlepas peluang mengumpul mata pada Terbuka Australia baru-baru ini susulan kecederaan Soon Huat.

Disiarkan pada: June 18, 2019 @ 7:09pm
d