arena

Skil Siti Safiyah 'teruji' di AS

Oleh Nor Hairulnizam Wahid

PENGALAMAN menyertai kejohanan Jelajah PWBA di Amerika Syarikat sedikit sebanyak membantu pemain boling negara Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman menjadi semakin matang ketika beraksi.

Meskipun nasib kurang menyebelahinya tahun ini, Siti Safiyah yang pernah bergelar juara Terbuka Wichita pada 2017, juga atlet pertama negara menjulang gelaran pada kejohanan jelajah di AS mengakui ia sedikit sebanyak membantunya dari aspek permainan, persiapan fizikal dan mental.

“Secara tidak langsung ia membantu saya membezakan pendekatan yang perlu untuk menyertai kejohanan tahap tinggi dan sebaliknya,” kata juara Terbuka Thailand tahun ini.

“Kejohanan tahap tinggi memberikan lebih tekanan dan rasa gementar yang tersendiri namun selepas menyertai pelbagai kejohanan sejak berusia 14 tahun, secara beransur-ansur saya dapat rasakan permainan saya lebih baik dan lebih berkeyakinan.”

Malah tidak keterlaluan apabila dikatakan kejohanan Jelajah PWBA menawarkan aksi tahap tinggi yang diperlukan Siti Safiyah dan rakan senegara untuk memantapkan permainan mereka meskipun bukan sedikit pengorbanan yang perlu dilakukan, antaranya terlepas peluang menyambut lebaran bersama keluarga.

“Di Amerika, mereka menganggap boling sukan bertaraf tinggi yang disertai pemain profesional seperti juga golf,” katanya. “Jika menang kejohanan itu, anda sudah dianggap sebagai profesional.”

Disiarkan pada: June 18, 2019 @ 7:24pm
d