arena

MSN agresif siapkan Khairul, Suresh

Oleh Azlan Muhammad Zain

TIADA permintaan istimewa disuarakan pemanah negara, Khairul Anuar Mohamad dalam persiapan menjelang Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Namun dia bersedia mengikuti program yang dirancang untuknya oleh Majlis Sukan Negara (MSN).

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail menjanjikan pendekatan yang lebih agresif untuk persiapan atlet berusia 27 tahun itu.

“Terdapat beberapa perkara yang berada dalam pertimbangan dan kami akan berbincang lanjut dengan persatuan dan juralatih. Kami akan gunakan pendekatan agresif.

“Kami mahu memanfaatkan tempoh yang panjang bagi mempersiapkannya termasuk pemanah paralimpik S Suresh,” kata Shapawi selepas menyambut ketibaan skuad memanah negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang, hari ini.

Antara yang menjadi pertimbangan menurut Shapawi adalah latihan bersama yang boleh dicapai dengan pasukan luar.

Selain perak Kejohanan Dunia di Belanda, Khairul Anuar turut menempat tiket ke Olimpik Tokyo dalam acara individu.

Ia penampilan ketiganya selepas London 2012 dan Rio 2016 manakala Suresh yang muncul juara dunia di Kejohanan Para Dunia tampil buat kali pertama di Sukan Paralimpik Tokyo.

Disiarkan pada: June 18, 2019 @ 10:49pm
d