arena

Serangan Tok Gajah kembali menyengat

Oleh Asrol Awang

DOLLAH Salleh berpuas hati apabila Pahang kembali mencatat kemenangan, selepas gagal dalam tiga perlawanan terdahulu.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, kemenangan 2-0 ke atas PKNP FC malam tadi, memberi motivasi terbaik buat skuad Tok Gajah untuk beraksi dengan lebih cemerlang dalam perlawanan akan datang.

"Saya bersyukur kerana kami mengutip tiga mata selepas gagal dalam tiga perlawanan sebelum ini. "Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan corak permainan ditampilkan pemain walaupun mereka gagal mencari tambahan gol pada babak kedua, tetapi kami berjaya menguasai sepenuhnya perlawanan.

"Kita banyak mencipta peluang tetapi penjaga gol PKNP (Khairul Thaqif Shah Kamal Bashah) beraksi cemerlang bagi menafikan kemenangan lebih besar kami," katanya.

Pada perlawanan itu, dua gol Pahang, masing-masing dijaringkan oleh Lazarus Kaimbi dan Dickson Nwakaeme minit ke-20 dan 30.

Mengulas mengenai gandingan Nwakaeme dan Kaimbi selepas dua perlawanan, jurulatih skuad itu ternyata gembira dengan persefahaman yang ditunjukkan kedua penyerang import itu.

Katanya, dua pemain itu juga banyak membantu memperkuatkan jentera serangan yang tumpul dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

Dollah percaya, jaringan pertama Kaimbi selepas dua perlawanan membuktikan dia mampu mempamerkan prestasi lebih bagus selepas ini.

Disiarkan pada: June 19, 2019 @ 10:08am
d