arena

PKNP mahu kekal bersaing dalam Liga Super

Oleh Asrol Awang

BUKAN sahaja PKNP FC, malah tiga lagi pasukan turut terdesak untuk kekal bersaing dalam saingan Liga Super musim depan.

Itu komen jurulatih PKNP, Abu Bakar Fadzim yang mahu anak buahnya menamatkan baki lima perlawanan dengan mengutip mata maksimum.

"Bagi saya, empat pasukan iaitu PKNP, PKNS, Kuala Lumpur dan FELDA United juga sedang berusaha untuk memperbaiki kedudukan.

"Sudah pasti, satu atau dua kemenangan yang diraih akan membantu mana-mana pasukan ke hadapan sekali gus keluar dari zon penyingkiran.

"Saya akan pastikan mata maksimum diraih selepas bertemu dengan dua pasukan yang berada di tempat teratas seperti Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Pahang," katanya.

Mengulas mengenai kekalahan 0-2 kepada Pahang malam tadi, Abu Bakar mengakui skuadnya tidak beraksi pada tahap terbaik untuk sekurang-kurangnya mencuri satu mata di tempat lawan.

Katanya, displin dan kelekaan anak buahnya tidak seperti dipamerkan ketika seri 1-1 berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT), Jumaat lalu.

"Pahang mempertaruhkan kesebelasan utama dan mereka berada pada prestasi terbaik yang menyaksikan kami dibolosi dengan dua gol pada separuh masa pertama.

"Pada babak kedua pula, pemain mempamerkan sedikit peningkatan dan berjaya mempertahankan gawang daripada dibolosi," katanya.

Beliau turut memuji aksi penjaga golnya, Khairul Thaqif Shah Kamal Bashah yang bertindak menghalang gawang daripada terus dibolosi skuad Tok Gajah.

Disiarkan pada: June 19, 2019 @ 10:41am
d