arena

Misi pikat Oltmans

Oleh Saiful Affendy Sapran

KETEGASAN Roelant Oltmans tidak membenarkan pemain muda beraksi pada saingan Liga Hoki Remaja Malaysia mendorong penyerang negara, Akhimullah Anuar Esook untuk merebut tempat dalam skuad kebangsaan menjelang siri Jelajah Eropah bermula hujung bulan depan.

Akhimullah adalah antara tiga pemain yang tidak mendapat restu ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara itu, kini beraksi bersama juara berganda, SSTMI Thunderbolts pada saingan liga bermula, esok. "Sudah tentu saya akan berusaha untuk mendapatkan tempat beraksi bersama skuad senior. Saya harap rezeki akan terus memihak kepada saya.

"Selepas seminggu menjalani latihan bersama skuad negara, saya rasa lebih yakin untuk beraksi bersama rakan sepasukan," katanya.

Penyerang muda negara berusia 19 tahun itu mengakui tidak dapat memberi impak yang besar pada penampilan pertama bersama skuad senior di Pusingan Akhir Siri FIH di Kuala Lumpur, bulan lalu selepas dipanggil secara mengejut untuk menggantikan Shahril Saabah.

"Memang banyak yang perlu saya perbaiki dan banyak juga pemain senior yang memberi teguran kesilapan saya lakukan," katanya.

Nama Akhimullah mula menyinar selepas melakar sejarah membantu pasukan bawah 18 tahun negara memenangi pingat emas di Sukan Olimpik Remaja (YOG) di Buenos Aires, Argentina tahun lalu.

Sejak itu, dia mula dipanggil untuk menyertai kem latihan skuad kebangsaan.

Disiarkan pada: June 19, 2019 @ 4:56pm
d