arena

Suresh terima penghargaan, insentif RM5,000

Oleh Izzali Ismail

ATLET memanah negara, S Suresh yang menjuarai acara recurve lelaki terbuka pada Kejohanan Memanah Para Dunia 2019 di ‘s-Hertogenbosch, Belanda, baru-baru ini, menerima penghargaan serta insentif sebanyak RM5,000 daripada kerajaan Negeri Kedah.

Majlis penyerahan berlangsung di Wisma Darul Aman, Alor Setar, hari ini adalah langkah penghargaan kerajaan negeri terhadap atlet yang membanggakan nama negara serta negeri itu di peringkat antarabangsa sekaligus menempah tempat ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Berucap pada majlis penghargaan itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata pihaknya berbangga kerana Kedah berjaya melahirkan atlet yang mewakili dan menunjukkan prestasi cemerlang diperingkat dunia.

"Kerajaan Kedah mestilah memberi perhatian kepada kebajikan atlet-atlet kita ini sepertimana perhatian diberikan kepada atlet Kedah sebelum ini.

"Bagi atlet para tahun lalu kerajaan negeri telah meluluskan satu peruntukan sebagai insentif kepada mereka.

Insentif itu akan diumumkan jumlahnya tidak lama lagi.

"Ini sekadar meyakinkan bahawa kerajaan negeri akan terus membantu atlet kita pada tahun ini dan juga seterusnya pada tahun tahun akan datang.

"Selain mengiktiraf kejayaan Suresh, Mukhriz turut memaklumkan pihaknya mahu mempertimbang sekiranya ada keperluan tambahan selepas berbincang bersama atlet serta jurulatih masing-masing.

"Sangat penting untuk kita mengiktiraf kejayaan beliau (Suresh) dan tentang keperluan tambahan yang mereka perlukan, perkara itu akan dipertimbangkan.

Suresh menghargai sokongan serta penghargaan yang ditunjukkan seluruh rakyat Malaysia diatas kejayaan pingat emas diraih diperingkat antarabangsa.

"Sasaran saya adalah mahukan pingat emas di Tokyo tahun depan walaupun diberi tentangan hebat oleh atlet Amerika Syarikat, Korea dan Iran.

“Saya juga mahu terus berusaha menambah pingat emas dan mengharumkan nama Malaysia dan juga negeri Kedah,” katanya.

Disiarkan pada: June 19, 2019 @ 7:37pm
d