arena

Neymar sah digantung 3 aksi

Oleh AFP

BINTANG Brazil, Neymar akan terlepas tiga aksi Liga Juara-Juara musim depan sebagai hukuman kerana menghina pengadil selepas Paris Saint-Germain tersungkur di tangan Manchester United.

Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) mulanya menjatuhkan hukuman itu April lalu sebelum PSG membuat rayuan, namun keputusan muktamad mengenainya dibuat hari ini.

“Rayuan dikemukakan PSG ditolak. Oleh itu, keputusan jawatankuasa kawalan, etika dan disiplin UEFA pada 25 April lalu disahkan,” menurut UEFA.

Pemain termahal dunia itu tidak dapat beraksi pada perlawanan itu kerana cedera.

Dia menonton dari bangku penonton ketika United dihadiahkan penalti pada masa kecederaan selepas keputusan VAR, dengan Marcus Rashford meledak masuk bagi menyingkirkan juara Perancis itu pada pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara.

Pemain berusia 27 tahun itu kemudian menyelar keputusan pegawai perlawanan di laman Instagram.

“Ia memalukan. Mereka mempunyai empat lelaki yang tidak faham bola sepak menyaksikan ulang tayang secara perlahan di kaca TV,” tulis Neymar.

Disiarkan pada: June 20, 2019 @ 12:46am
d