arena

Jaringan Zapata bantu kemenangan Colombia

Oleh Reuters

JARINGAN lewat permainan oleh Duvan Zapata, kedua buatnya dalam dua perlawanan, memberikan Colombia kemenangan 1-0 mengatasi Qatar sebentar tadi dan memastikan tempat ke suku akhir Copa America.

Zapata melonjak tinggi berbaki lima minit permainan untuk menanduk masuk hantaran lintang daripada pemain terbaik perlawanan itu, James Rodriguez dan memecah kebuntuan pada saingan di Stadium Morumbi.

Keputusan itu bermakna Colombia, yang menewaskan Argentina 2-0 pada perlawanan pembukaan, kini mengumpul enam mata dan berada di kedudukan teratas Kumpulan B, dengan Argentina juga bermain sebentar lagi menentang Paraguay.

Qatar mengumpul satu mata selepas seri 2-2 menentang Paraguay Ahad lalu tetapi masih boleh layak ke kelompok lapan terakhir.

Colombia lebih baik pada babak pertama dengan jaringan Roger Martinez tidak dikira kerana ofsaid hanya selepas lima minit dan tandukan Rodriguez tersasar lapan minit selepas itu.

Juara Asia, Qatar satu daripada dua bukan pasukan dari Amerika Selatan dijemput bagi kejohanan berkenaan, meningkat pada babak kedua tetapi ketika perlawanan tampak berkesudahan seri tanpa jaringan, Zapata memberikan mata penuh buat Colombia.

“Kami berada di landasan yang betul namun perjalanan masih jauh daripada apa yang kami mahukan,” kata Rodriguez.

Disiarkan pada: June 20, 2019 @ 8:58am
d