arena

Tchetche tak mahu tercicir mata lagi

Oleh Malik Muhamad

KEKALAHAN memalukan kepada juara Piala Malaysia, Perak mahu segera dilupakan oleh penyerang sensasi Terengganu FC (TFC), Kipre Tchetche.

Pemain kelahiran Ivory Coast yang memburu anugerah penjaring terbanyak musim ini biarpun baharu meledak lima gol mahu memberi fokus kepada saingan Liga Super yang berbaki lima perlawanan lagi.

Pemain berusia 32 tahun itu juga berhasrat memperbaiki kedudukan saingan liga berbanding musim lalu apabila berada di tangga kelima liga.

“Kami tidak boleh tercicir mata lagi sebaliknya fokus menghadapi perlawanan selepas ini.

“Jika musim lalu kami berada di tempat kelima liga, saingan kali ini kami perlu perbaiki pencapaian itu untuk berada pada kedudukan lebih baik.

“Kami berharap merealisasikan impian itu apatah lagi perlawanan hampir ke penghujung musim dengan berbaki lima perlawanan,” kata bekas pemain kelab Al-Suwaiq dalam Liga Oman itu yang menyarung jersi TFC sejak dua tahun lalu.

Mengulas kekalahan 1-3 kepada skuad The Bos Gaurus di Stadium Perak, Ipoh, kelmarin, Tchetche berkata: “Kami cuba membuat serangan tetapi sukar kerana kurang seorang pemain selepas Dechi Marcel dibuang padang pada pertengahan babak pertama kerana menerima dua kad kuning.

“Sukar bersaing dengan lawan beraksi dengan 11 pemain,” ujar Tchetche.

TFC kini berada di tangga ketujuh liga, mengumpul 21 mata hasil 17 perlawanan, dilihat mempunyai tugasan sukar mengintai kedudukan kedua terbaik selepas ketinggalan sembilan mata dengan Pahang kini menghuni tangga kedua liga.

Disiarkan pada: June 20, 2019 @ 12:55pm
d