arena

Jelius fokus lima aksi terakhir Sabah

Oleh Nazri Abu Bakar

JURULATIH Sabah, Jelius Ating bangga dengan persembahan anak buahnya mengatasi PDRM di tempat lawan.

Baginya, kesungguhan dan komitmen tinggi tampil agresif pada 45 minit kedua di Stadium Hang Jebat, malam tadi nyata berbaloi mengutip mata penuh.

The Cops menguasai babak pertama perlawanan itu.

Kemenangan 2-1 sudah cukup buat Sabah melonjak ke tangga teratas liga mengumpul 31 mata mengatasi Johor Darul Ta’zim II (JDT) II di tangga kedua (30 mata) namun skuadnya kurang satu perlawanan berbanding Harimau Selatan.

“Kemenangan motivasi terbaik mengintai tempat ke Liga Super dan beraksi di pentas Piala Malaysia.

Namun kami perlu fokus satu perlawanan ke satu perlawanan dengan konsisten bagi memenuhi sasaran berada di puncak liga hingga ke akhir musim.

“Buat masa ini, belum ada pasukan layak ke Liga Super selagi tidak mengakhiri perlawanan di kedudukan teratas berikutan semua pasukan mampu mencabar satu sama lain,” katanya.

Menurutnya, baki lima perlawanan amat penting berikutan dalam bola sepak semua boleh berlaku walaupun skuad bimbingannya kini berada di puncak liga.

Justeru, apa yang penting Sabah perlu memenangi semua baki aksi dianggap amat mencabar dengan sasaran tiga mata berdepan Sarawak di gelanggang sendiri pada 26 Jun ini.

Baginya, dia amat mengharapkan pasukan terbabit mampu kembali ke Liga Super selepas lebih lima musim tidak beraksi di liga utama berkenaan.

Dia yang mengambil alih tugas pengendali skuad Tambadau pada 2017 nyata gembira menewaskan PDRM sekali gus mengimbau kenangan menarik mewakili The Cops muncul juara Liga Perdana 2007 sebagai pemain.

Bekas pemain Sabah (1995-2006) dan Sarawak 2007 serta skuad kebangsaan 1997-1998 terbabit juga teruja untuk membantu kecemerlangan skuad berkenaan di Piala Malaysia selepas juga sekian lama tidak layak bersaing di pentas berprestij terbabit.

Apapun, dia mahu melupakan seketika hasrat berkenaan berikutan fokus terarah kepada baki perlawanan liga Perdana musim ini.

Disiarkan pada: June 20, 2019 @ 2:22pm
d