arena

Kumar harap tuah percubaan kelima

Oleh Saiful Affendy Sapran

S KUMAR berharap percubaan kali kelimanya pada kempen kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang dijadual berlangsung November depan dapat memenuhi hasratnya untuk beraksi di temasya sukan terbesar dunia itu buat kali pertama.

Penjaga gol utama skuad negara yang baru pulih daripada kecederaan koyak otot paha ketika beraksi di saingan Liga Hoki Malaysia (LHM), Februari lalu itu berkata, hasratnya untuk beraksi di Sukan Olimpik tidak pernah luntur meskipun berdepan kekecewaan dalam empat kempen kelayakan sebelum ini.

“Saya memang berharap percubaan kali kelima ini dapat membawa saya beraksi di Sukan Olimpik.

“Saya sudah mencuba sejak kelayakan Sukan Olimpik Athens 2004, Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016 tetapi kesemuanya masih tidak berjaya,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan hari ini.

Pemain berpengalaman yang bakal berusia 40 tahun Disember depan itu berkata, kini dia semakin bersemangat untuk membantu pasukan melepasi kempen kelayakan selepas terpaksa berehat selama empat bulan.

“Saya sudah kembali berlatih sejak tiga minggu lalu. Walaupun sudah hampir 90 peratus pulih, saya tak boleh menjalani latihan penuh lagi bersama rakan sepasukan.

“Bila saya tiada, rakan-rakan sering bertanya bila akan dapat kembali semula. Mungkin mereka berasa lebih yakin apabila saya ada dalam pasukan.

“Bukan tidak yakin dengan penjaga gol yang lain, cuma bila saya ada pengalaman saya itu mungkin dapat membantu pasukan,” katanya.

Disiarkan pada: June 20, 2019 @ 10:53pm
d