arena

Jin Wei rehat panjang

Oleh Saiful Affendy Sapran

"Buat masa sekarang saya tak mahu dia fikir mengenai Sukan Olimpik (Tokyo 2020)."

Itu pengakuan ketua jurulatih perseorangan wanita negara, Tey Seu Bock yang mengesahkan anak didiknya, Goh Jin Wei mungkin akan terlepas beraksi di Tokyo selepas terpaksa direhatkan sejak minggu lalu kerana masalah kesihatan di bahagian perut.

Jelas Seu Bock, Jin Wei ketika ini diberi keutamaan untuk berehat dan menjalani rawatan khusus sekaligus tidak dibenarkan menjalani sebarang sesi latihan bersama skuad kebangsaan.

"Buat masa ini saya memang tidak akan menghantar Jin Wei menyertai sebarang kejohanan walaupun sebelum ini saya sudah daftarkan dia untuk beraksi di Terbuka Indonesia dan Jepun.

"Saya tak mahu dia berasa tertekan. Jadi lebih baik dia terus menjalani sesi rawatan.

"Saya tak pasti berapa lama dia perlu berehat kerana penyakitnya itu datang tidak menentu.

"Sudah tentu sekiranya perkara ini berlarutan peluangnya akan terlepas untuk beraksi di Olimpik," katanya ketika ditemui pada sesi latihan, hari ini.

Seu Bock bagaimanapun masih mengharap agar juara dunia remaja dua kali itu segera pulih sekaligus dapat kembali beraksi untuk mengumpul mata kelayakan Sukan Olimpik.

"Jika dia dapat kembali beraksi dalam tempoh dua hingga tiga bulan lagi, saya rasa masih sempat untuk layak ke Sukan Olimpik.

"Yang penting apabila kembali nanti dia sudah sihat sepenuhnya," katanya.

Perkembangan terbaru itu pastinya satu lagi tamparan untuk Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas kehilangan jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei yang mengumumkan persaraan, minggu lalu.

Seu Bock sebelum ini dilaporkan berkata berkata, tahap kesihatan Jin Wei akan diteliti sepenuhnya selepas beraksi di Terbuka Australia dua minggu lalu.

Berikutan masalah kesihatannya itu, prestasi Jin Wei dilihat terjejas sejak akhir-akhir ini.

Disiarkan pada: June 21, 2019 @ 3:43pm
d