arena

MAKAF gugur lima gabungan

Oleh Amir Mamat

PERSEKUTUAN Karate Malaysia (MAKAF) menggugurkan keahlian terhadap lima persatuan negeri yang didapati melanggar perlembagaan persatuan itu berkuat-kuasa serta-merta.

Mengumumkan perkara itu, Presiden MAKAF, Tan Sri Mohd Ali Rustam, berkata persatuan terbabit adalah Persatuan Karate-Do Wilayah Persekutuan Putrajaya, Persatuan Karate-Do Perak, Persatuan Karate-Do Pahang, Persekutuan Karate Pulau Pinang serta Persekutuan Karate Goshin-Ryu Malaysia.

“Mesyuarat Majlis Tertinggi MAKAF hari ini mengambil keputusan untuk memecat lima ahli gabungan yang melanggar perlembagaan serta menimbulkan suasana tidak harmoni bagi MAKAF dan perjalanan sukan karate di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Kita mengambil keputusan sebulat suara ke atas ahli gabungan berkenaan berkuat kuasa serta-merta,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi MAKAF di Hotel Platinum, Pulau Melaka, di sini, hari ini.

Kemelut membabitkan kepemimpinan MAKAF bermula selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang diadakan Oktober tahun lalu, apabila sekumpulan ahli gabungan mempertikaikan beberapa tindakan ahli majlis tertinggi yang menang dalam pemilihan berkenaan.

Hal itu berlarutan sehingga kemuncaknya apabila ‘kumpulan berhaluan kiri’ itu mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) di Ipoh, Perak pada 9 Jun lalu bagi memilih kepemimpinan baharu persatuan.

Tindakan terbabit bagaimanapun didakwa sebagai tidak sah apabila status keahlian ahli yang hadir adalah meragukan serta boleh dipertikaikan.

Sementara itu, Setiausaha Agung MAKAF, Datuk Paduka Nur Azmi Ahmad, berkata semua ahli gabungan berkenaan sudah menjawab surat tunjuk sebab pada 3 Jun lalu, namun jawapan mereka tidak memuaskan.

“Apa jua ruang penjelasan daripada lima gabungan itu, selain daripada surat jawapan yang diterima tidak tercapai kerana surat jawapan mereka dihantar pada 3 Jun, dua hari sebelum Aidilfitri.

“Bagaimanapun, satu mesyuarat EGM tetap diteruskan mereka pada 9 Jun lalu yang menyaksikan undi tidak percaya dibuat oleh lima ahli gabungan terhadap MAKAF yang ketika ini masih sah di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997.

“Susulan itu, mesyuarat Majlis Tertinggi memutuskan lima ahli gabungan terbabit dilucutkan segala hak keahlian di bawah perlembagaan dengan dipecat daripada MAKAF berkuat kuasa hari ini,” katanya.

Nur Azmi berkata, Majlis Tertinggi MAKAF turut bersetuju untuk menarik balik lesen pengadil terhadap Presiden Persatuan Karate-Do Wilayah Persekutuan Putrajaya, P Thiagu.

“Selain itu, hak pemberian atau melanjutkan tempoh lesen pengadil terhadap Thiagu juga ditarik balik,” katanya.

Disiarkan pada: June 21, 2019 @ 7:01pm
d