arena

Garang ke separuh akhir

Oleh Saiful Affendy Sapran

EMPAT pemain perseorangan lelaki negara mendominasi saingan separuh akhir Kejuaraan Siri Antarabangsa Malaysia esok selepas menewaskan lawan masing-masing pada aksi suku akhir hari ini.

Pada perlawanan yang berlangsung di Arena Badminton Perak, Ipoh itu, pilihan pertama kejohanan, Soong Joo Ven nyata tidak berdepan masalah menewaskan wakil dari Indonesia, Gatjra Piliang Cupu 21-12, 21-7 dalam tempoh 31 minit meskipun lawannya itu memegang status selaku juara bertahan.

Saingan separuh akhir esok menyaksikan Joo Ven akan bertemu seorang lagi pemain negara, Lim Chong King yang mengejutkan pilihan ketiga dari Kanada, Sheng Xiaodong 22-20, 21-16, hari ini.

Cheam June Wei yang diletakkan selaku pilihan kedua, juga mempamer aksi cemerlang apabila mara ke separuh akhir selepas menewaskan wakil Indonesia, Yonathan Ramlie 24-22, 21-9.

June Wei akan bertemu rakan senegara, Tan Jia Wei yang menewaskan seorang lagi wakil Malaysia, Lim Chi Wing 21-14, 21-12.

Sementara itu dalam acara perseorangan wanita, S Kisona meneruskan kemaraan selepas menewaskan pilihan keenam, Jaslyn Hooi Yue Yann dari Singapura 12-21, 21-13, 21-16.

Juara bertahan itu akan bertemu Sri Fatmawati dari Indonesia pada aksi separuh akhir esok.

Fatmawati mara selepas mengejutkan wakil negara yang juga pilihan kedua kejohanan, Ho Yen Mei 21-17, 21-18.

Seorang lagi pemain negara, Eoon Qi Xuan turut mara selepas menewaskan Grace Chua dari Singapura 21-14, 16-21, 21-9.

Disiarkan pada: June 21, 2019 @ 8:28pm
d