arena

Bebas dari neraka

Oleh Firdaus Hashim

KUALA LUMPUR: “Saya tidak pernah melihat ketiadaan rasa hormat dalam kerjaya seperti dilayan macam babi terutama pemain import. Saya tidak pernah melihat seseorang berpura-pura menjadi lelaki kaya tetapi tidak mampu membayar gaji.

“Saya tidak pernah melihat sesiapa yang mahu menjalankan kelab profesional dan menegaskan pemain import membayar permit kerja, kereta dan apartmen mereka. Saya tidak nampak bahawa seseorang memberi pemain cek palsu untuk mengelakkan pembayaran gaji.”

Begitu kata tonggak import Batu Dua FC, Ljuba Baranin yang meluahkan rasa tidak puas hati terhadap seorang kenamaan (VIP) bergelar Datuk yang juga penaja utama kelab itu musim ini, dalam Facebook (FB) miliknya semalam.

Menggunakan nama Ljuba, dia turut mendakwa menerima layanan buruk daripada VIP itu selain menerima cek palsu untuk pembayaran gajinya.

Katanya, dia gembira berjaya keluar daripada pengurusan pasukan yang disifatkannya seperti neraka dan binatang terutama terhadap pemain import.

“Terima kasih kepada Tuhan, saya akhirnya meninggalkan Batu Dua FC. Siapa yang bermain untuk pasukan ini tahu neraka itu mudah baginya. Yang bekerjasama dengan pemilik kelab dan pengurusan – bertemu dengan syaitan itu lebih senang,” katanya.

Sebelum ini, Arena Metro mendedahkan, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengenal pasti individu yang layak digelar ‘penyamun’ yang menjadi punca masalah kepada empat kelab, Marcerra United, Kuantan FA, Hanelang dan Terengganu City FC hingga menyebabkan bekas pemain serta barisan kejurulatihan kelab berkenaan menderita tidak menerima gaji.

Setakat ini, individu berkenaan yang masih lagi bebas daripada sebarang tindakan, bertanggungjawab terhadap hampir RM5 juta keseluruhan tunggakan gaji membabitkan pemain dan barisan kejurulatihan kelab terbabit sejak tiga tahun lalu.

Namun, FAM berdepan kekangan untuk menyelesaikan masalah terbabit apabila bekas pemain empat kelab yang sudah tidak beraksi dalam Liga Malaysia itu lebih berminat menuding jari kepada badan induk itu berbanding membongkar identiti individu berkenaan untuk tindakan lanjut.

Malah, individu sama mengendalikan pula Batu Dua FC yang ditubuh awal musim ini untuk bersaing dalam Liga M3, namun difahamkan mengalami masalah gaji tertunggak seperti kelabnya sebelum ini.

Mengulas lanjut, Baranin turut berharap agar Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dapat mengambil tindakan ke atas individu berkenaan daripada terus merosakkan masa depan pemain lain.

“Saya masih mempunyai pandangan yang sangat baik terhadap Malaysia dan rakyatnya, saya mempunyai ramai kawan baik di sini, saya harap MFL akan menyembuhkan kanser bola sepak ini yang memusnahkan beberapa pasukan.

“Terima kasih semua orang, saya berharap kita akan berjumpa lagi pada musim hadapan. Sila kongsi jika anda boleh, untuk melindungi pemain lain yang mungkin berurusan dengan orang-orang ini pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Batu Dua FC melalui satu kenyataan ringkas menafikan bertindak tidak wajar terhadap pemain yang berasal dari Serbia itu dengan menyatakan kelab berkenaan menjaga kebajikan pemain sebaik mungkin.

“Kami menafikan isu tidak menjaga kebajikan Ljuba dan masalah lain. Kami sudah selesai membayar gaji dan surat pelepasan dia sebagai pemain Batu Dua FC. Pihak kelab dan tuan muda sudah buat yang terbaik untuk dia,” jelas kenyataan itu.

Disiarkan pada: June 22, 2019 @ 9:00am
d